Perak sedia GeRUP bantu usahawan tercicir GKP

Saarani (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman GeRUP antara Noor Azmi (kiri) dengan Ahmad Suaidi.
Saarani (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman GeRUP antara Noor Azmi (kiri) dengan Ahmad Suaidi.
A
A
A

IPOH - Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Perak yang tercicir daripada bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) boleh mengemukakan permohonan mendapatkan Geran Usahawan Perak (GeRUP) yang telah mula dibuka semalam.

Menerusi GeRUP, setiap usahawan PKS yang berkelayakan akan mendapat bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua dengan jumlah dana keseluruhan RM1 juta.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu diperkenalkan untuk membantu PKS Bumiputera negeri ini memulakan kembali perniagaan masing-masing selepas mengharungi tempoh sukar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Walaupun sektor ekonomi telah dibuka secara berperingkat, namun sehingga kini kerajaan negeri dan saya masih lagi menerima keluhan dan rintihan daripada usahawan mikro di mana masih ramai yang tercicir daripada menerima bantuan yang diumumkan kerajaan Pusat sebelum ini.

"Atas sebab itu, kerajaan Perak menyediakan peruntukan khas RM1 juta ini kepada usahawan mikro yang akan disalurkan melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp), dengan syarat mereka ini tidak pernah menerima GKP daripada kerajaan Persekutuan.

"Sebagai langkah memastikan ketelusan permohonan, kerajaan negeri akan membuat semakan silang senarai penerima GKP dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri," katanya ketika berucap pada pelancaran GeRUP di Pusat Pembangunan Usahawan PKNP di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN), Muaz Zawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said.

Saarani berkata, antara syarat kelayakan lain ditetapkan termasuklah operasi perniagaan mestilah di negeri Perak, berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan telah beroperasi sebelum 1 Januari 2020 serta memperoleh nilai jualan tidak melebihi RM300,000 setahun dan memiliki pekerja kurang daripada lima orang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, permohonan berkenaan hanya dibuka dalam tempoh dua minggu sahaja bermula 16 hingga 31 Julai ini secara dalam talian di pautan gerup.smecorp.gov.my.

"Memandangkan geran ini perlu dipohon melalui online yang mungkin menyukarkan usahawan luar bandar seperti Makcik Kiah yang menjual kuih muih dan Paklong Hasan yang menjual tempe, maka 24 agensi pembimbing telah dilantik oleh kerajaan negeri untuk membantu usahawan mengisi borang permohonan secara online.

"Antara agensi pembimbing itu adalah SME Corp, UPEN, Yayasan Perak, Jabatan Pertanian Negeri Perak, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tekun Nasional (Tekun) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)," katanya.

Beliau berkata, antara perbelanjaan yang layak dibiayai melalui bantuan itu merangkumi kos pemasaran, pembelian bahan mentah, pembayaran gaji pekerja, sewa premis perniagaan dan pembelian peralatan.

"PKS yang menerima bantuan ini kemudiannya akan dipantau dan dibimbing oleh agensi-agensi keusahawanan negeri Perak bagi memastikan pembangunan kapasiti yang berterusan," katanya.