Saya tak mahu jadi PM untuk perikatan tidak suci, kata Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan Pakatan Harapan (PH) telah menyebabkan PH berhenti menjadi kerajaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi catatan terbaharu di blog Chedet hari ini, beliau menjelaskan ketika itu jawatan beliau sebagai Perdana Menteri turut terlucut.

"Jelas sekali apabila Bersatu keluar PH, PH hilang kelayakan menjadi kerajaan. Ini bermaksud semua ahli Kabinet hilang kedudukan sebagai Menteri.

"Termasuklah saya. Saya hilang jawatan sebagai Perdana Menteri. Surat letak jawatan hanyalah formaliti," katanya.

Dr Mahathir dalam tulisan itu menyentuh mengenai bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini mempunyai majoriti paling tipis.

Beliau turut mengaitkan penubuhan kerajaan Melayu Islam yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak antara sebab kerajaan PH runtuh.

"Apabila Najib kalah pada PRU14, dia tahu dirinya akan ke penjara akibat kesalahan yang dilakukan. Dengan segera dia beri cadangan kepada Pas untuk membentuk kerajaan Melayu Islam.

"Tetapi mereka tidak punyai cukup bilangan untuk bentuk kerajaan. Dia perlu lebih sokongan Melayu. Dia mendakwa Kerajaan PH dikuasai oleh DAP dan DAP akan hancurkan orang Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Untuk singkirkan DAP, kerajaan PH mesti ditumbang. Untuk ini Bersatu perlu keluar PH. Kemudian mereka perlu sertai UMNO dan Pas untuk bentuk kerajaan baharu," katanya.

Beliau mendakwa, berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berusaha mendapatkan ahli UMNO termasuk berjaya mendapatkan Najib untuk menyokongnya menjadi Perdana Menteri dalam gabungan baharu tersebut.

Dr Mahathir bagaimanapun telah menentang langkah tersebut kerana tidak mahu mengkhianati penyokong dan parti lain dalam gabungan PH.

"Saya menentang cubaan ini. Tetapi (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) menyokong idea itu. Majoriti di Bersatu menyokong Muhyiddin," katanya.

Tambah beliau, jika beliau menerima cadangan untuk menjadi Perdana Menteri gabungan baharu itu, beliau sebenarnya akan menghidupkan semula UMNO dan menjadikannya sebahagian daripada kerajaan.

"Saya tidak dapat terima cadangan dijadikan sebagai Perdana Menteri kepada perikatan yang tak suci. Oleh sebab Muhyiddin lebih berminat, saya bertindak jauhkan diri daripada kumpulan Muhyiddin," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau telah membawa kes perlucutan keahliannya dalam Bersatu ke mahkamah.

"Hari ini keahlian saya dalam Bersatu dilucutkan termasuk sebagai Pengerusi Parti. Saya telah bawa pertikaian ini ke mahkamah untuk tentukan kesahihan pelucutan itu," katanya.