X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin nafi pernah tawar Shafie jawatan TPM

A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini.

Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan nombor dua tertinggi kerajaan kepada Mohd Shafie pada bulan Mac selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, sebagaimana didakwa Ketua Menteri Sabah itu.

Menurutnya, kenyataan Mohd Shafie dalam satu wawancara bersama portal media tempatan, Malaysiakini pada 14 Julai lalu disifatkan beliau sebagai andaian semata-mata.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau (Mohd Shafie) pada bulan Mac selepas saya menjadi Perdana Menteri, seperti yang didakwa.

"Saya menyifatkan kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal dalam wawancara dengan Malaysiakini pada 14 Julai lalu yang menyatakan, "beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu" sebagai tidak benar.

"Kenyataan itu adalah andaian beliau (Mohd Shafie) semata-mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini pada 14 Julai lalu, Mohd Shafie mendedahkan Muhyiddin berhubung dengannya untuk mendapatkan sokongan Warisan supaya dapat memperkuat Perikatan Nasional.

Menurut Ketua Menteri Sabah itu, Muhyiddin telah menghubunginya kira-kira dua minggu setelah PN berkuasa, mencadangkan pertemuan antara mereka.

"Ketika itu beliau sudah memegang jawatan tersebut (PM), beberapa minggu saya fikir, beliau menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya. Beliau mengatakan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk kami bercakap.

"Itu beberapa waktu yang lalu. Ini melalui pesanan teks. Beliau (Muhyiddin) tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu."

Terdahulu, nama Mohd Shafie mencetuskan perdebatan kepada seluruh rakyat Malaysia apabila beliau dicalonkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri bagi mengepalai blok pembangkang sekiranya berlaku pengambilalihan kerajaan daripada tangan PN.

Bagaimanapun, pencalonan Mohd Shafie tidak dipersetujui kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengekalkan pendirian mencalonkan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi blok Pakatan Harapan (PH) bersama fraksi Dr Mahathir serta Warisan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!