Tekad tambat hati Maloney

Muhammad Hakim Daniel - Foto Stadium Astro
Muhammad Hakim Daniel - Foto Stadium Astro
A
A
A

PEMAIN pertahanan, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim berazam mendapat tempat dalam skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara bagi menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan Oktober depan.

Menurutnya, setiap pemain yang kini mengikuti kem latihan pusat skuad B-19 negara cukup bersemangat menampilkan prestasi terbaik masing-masing bagi memikat hati pengendali, Brad Maloney.

"Situasi itu secara tidak langsung mewujudkan persaingan sengit dalam kalangan para pemain, apatah lagi kami kini sudah boleh menjalani latihan secara bersentuhan.

"Saya percaya setiap pemain pastinya mahu membuktikan kemampuan mereka kepada jurulatih. Bagi saya keyakinan itu mesti ada dalam diri setiap pemain kerana matlamat paling penting dalam diri kita.

"Tetapi kita tidak boleh terlalu yakin kerana semua pemain ada potensi masing-masing. Setiap pemain dah tahu kelebihan dan juga kekurangan masing-masing, cuma kita kena lebih fokus dalam latihan kali ini," katanya.

Fahmi Daniel memberitahu, setiap pemain juga tidak menghadapi masalah untuk mengenali antara satu sama lain sekalipun sesi latihan sebelum ini tidak melibatkan sentuhan.

"Jika ada pemain baharu yang dipanggil sekalipun, ia bukan halangan untuk kami semua bersatu. Ini kerana walaupun dengan latihan tanpa kontak, kami tetap lakukan latihan seperti biasa.

"Tetapi selepas pihak kerajaan dah umumkan sesi latihan boleh dilakukan seperti biasa (kontak), ia lebih senang untuk tahu kelebihan dan kekurangan rakan-rakan sepasukan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Fahmi Daniel kini berada dalam senarai 35 pemain yang sedang mengikuti kem latihan pusat Fasa 1 menjelang Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang berlangsung dari 14 hingga 31 Oktober depan.