Geng Bokbok, Wan Pelet tumpas

Shafee pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam hari ini menunjukkan gambar seorang suspek yang masih diburu polis.
Shafee pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam hari ini menunjukkan gambar seorang suspek yang masih diburu polis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menumpaskan dua sindiket curi motosikal yang aktif melakukan jenayah itu di sekitar daerah Seberang Perai Tengah di sini dengan tertangkapnya tujuh lelaki dalam beberapa serbuan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, dua sindiket berkenaan dikenali sebagai geng Bokbok dan geng Wan Pelet terlibat dengan kegiatan jenayah terbabit sejak awal tahun ini.

Menurutnya, dalam serbuan pada 5 Julai lalu, polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun di sebuah rumah dalam kawasan Masjid Timah sebelum membawa kepada tangkapan seorang lagi remaja berusia 17 tahun.

"Hasil siasatan polis berjaya menemui tiga buah rangka motosikal dan satu set kulit enjin yang disembunyikan di dalam stor rumah keluarga suspek.

"Susulan daripada penemuan barang kes itu, suspek kemudian membawa polis ke sebatang sungai di kawasan Perai dan menemui enam buah rangka motosikal lagi yang dibuang di dalam sungai terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Shafee berkata, semakan polis mendapati kesemua rangka motosikal berkenaan masih bersabit dengan sembilan laporan motosikal hilang yang dilaporkan sebelum ini.

Shafee bersama pegawainya pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam hari ini menunjukkan rangka motosikal yang ditemui.
Shafee bersama pegawainya pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam hari ini menunjukkan rangka motosikal yang ditemui.

Menurutnya, siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 21 tahun di Jeli, Kelantan pada 10 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek berkenaan berperanan sebagai pembeli motosikal curi dan komponen yang telah dileraikan bersama seorang lagi suspek masih bebas yang berusia 23 tahun.

"Ketiga-tiga suspek yang merupakan geng Bokbok ini mengaku telah terlibat bersama melakukan 30 kes mencuri motosikal. Setakat ini hanya sembilan rangka sahaja berjaya ditemui dan selebihnya telah dilupuskan.

"Semakan rekod mendapati dua daripada suspek yang ditangkap mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kesalahan kes dadah," katanya.

Beliau berkata, bagi geng Wan Pelet pula, polis menahan empat lelaki berusia antara 18 dan 23 tahun di kawasan Kepala Batas dan Bukit Tengah pada Selasa lalu.

Menurutnya, dua suspek yang ditahan di Bukit Tengah itu didapati sedang menunggang motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Hasil soal siasat yang dilakukan terhadap mereka membawa kepada penemuan lima buah rangka motosikal yang dibuang di dalam tali air Kampung Pelet, Kampung Terus di Kubang Semang dan Sungai Labuh Banting di Tasek Gelugor.

"Semua rangka motosikal yang ditemui masih lagi dilaporkan hilang sebelum ini dan keempat-empat suspek mengakui terlibat dengan kegiatan ini sebelum mereka meleraikan komponen motosikal untuk dijual serta ada untuk kegunaan sendiri," katanya.

Shafee berkata, dengan tertumpasnya dua sindiket ini, polis berjaya menyelesaikan 36 kes curi motosikal yang berlaku di dalam daerah Seberang Perai Tengah.

"Kesemua yang ditahan kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi motosikal.

"Sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda atau kedua-duanya sekali," katanya.