Mahkamah tolak permohonan polis akses telefon bimbit Won Soon

Laporan Sinar Harian 10 Julai lalu.
Laporan Sinar Harian 10 Julai lalu.
A
A
A

SEOUL - Sebuah mahkamah di Seoul menolak permohonan polis untuk mengakses telefon bimbit digunakan Datuk Bandar Seoul, Park Won Soon, sebagai sebahagian siasatan bagi menentukan punca sebenar kematiannya, kata polis pada Jumaat.

Polis mengemukakan permohonan untuk memperoleh sejarah panggilan tiga telefon bimbit Park, termasuk telefon rasminya yang ditemukan bersama mayat Won Soon yang ditemui maut di gunung di bandar raya Seoul minggu lalu, lapor agensi berita Yonhap.

Mahkamah Daerah Seoul Utara berkata, akses telefon hanya diberikan dalam penyiasatan jenayah, terdapat 'kekurangan penjelasan untuk penyiasatan wajib' dalam kes ini. Tiada penjelasan mengenai sama ada penyebab kematiannya berkaitan dengan jenayah, seperti pembunuhan, tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Bandar Seoul ditemui mati

Won Soon dipercayai meragut nyawanya sendiri.

Polis berkata, tiada tanda perbuatan khianat dan datuk bandar itu meninggalkan catatan bertulisan tangan yang 'meminta maaf' kepada semua pihak, tanpa ulasan lanjut.

Kematian mengejut Won Soon terjadi sehari selepas seorang bekas setiausaha membuat aduan kepada polis mengenai dakwaan gangguan seksualnya. Kumpulan sivik dan seorang peguam yang mewakili mangsa mendakwa penjawat awam itu mengalami gangguan fizikal tidak diingini dan menerima pesanan tidak sesuai daripada Won Soon selama lebih empat tahun.

Polis dilaporkan telah menyimpan sebahagian sejarah panggilan Won Soon pada hari kematiannya dan sehari sebelumnya.

Seorang pegawai berkata, polis merancang menyiasat individu yang telah dihubungi mendiang untuk menentukan punca sebenar kematiannya.

Siasatan kes itu diperhebat, dengan penyiasat menyoal bekas pegawai dan pegawai di pejabat perbandaran, termasuk bekas ketua setiausaha Park di Pejabat Datuk Bandar. - Bernama

Artikel Berkaitan: