'Semua negeri setuju tarif air dinaikkan'

Xavier (kanan) mendengar penerangan mengenai proses rawatan yang dilakukan di loji rawatan itu.
Xavier (kanan) mendengar penerangan mengenai proses rawatan yang dilakukan di loji rawatan itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, memaklumkan secara dasarnya semua negeri telah bersetuju untuk menaikkan tarif air di negeri masing-masing.

Bagaimanapun, jelasnya ketika ini Kerajaan Pusat masih lagi berunding dengan negeri-negeri yang terlibat mengenai penetapan kadar baharu tarif air berkenaan.

“Persetujuan (untuk menaikan tarif air di semua negeri) telah ada. Cuma ada beberapa negeri yang masih belum menetapkan kadar kenaikan tarif air.

[ARTIKEL BERKAITAN:Kenaikan tarif air didik pengguna jimat air]

“Ini kerana perbincangan mengenai kenaikkan tarif air ini telah dilakukan sejak tahun lepas lagi bersama-sama dengan pelbagai agensi.

“Jadi, perkara ini bukan sesuatu yang baharu dan semua negeri telah sedia maklum dengan langkah yang diambil ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai Dua, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, proses perbincangan antara kerajaan pusat dan negeri itu perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan harga yang ditetapkan nanti munasabah serta tidak membebankan.

“Kebajikan rakyat merupakan keutamaan kerajaan, namun dalam aspek kenaikan tarif air ini ia merupakan perkara yang terpaksa dilakukan demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Xavier juga turut memberitahu kerajaan sedang berusaha untuk menambah baik loji serta paip usang di seluruh negara.

“Kerajaan sememangnya sentiasa komited bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.