Kedai runcit jual tambah nilai judi online diserbu

Kakitangan TNB cawangan Kemaman sedang melakukan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik di rumah suspek yang dijadikan kedai runcit kelmarin. - Foto Ihsan IPD Kemaman
Kakitangan TNB cawangan Kemaman sedang melakukan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik di rumah suspek yang dijadikan kedai runcit kelmarin. - Foto Ihsan IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Berselindung di sebalik jualan barang runcit dan roti, kegiatan penjualan tambah nilai judi dalam talian di sebuah kedai di Kampung Che Wan Kijal di sini terbongkar selepas rumah kedai itu diserbu Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, berikutan itu pemilik kedai, seorang wanita Iban berusia 43 tahun dan seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki pelanggan untuk membeli tambah nilai judi dalam talian ditahan.

Menurutnya, turut dirampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama bersama wang tunai berjumlah RM55 di premis berkenaan.

"Serbuan kira-kira jam 3.45 petang itu bertindak atas aduan awam. Siasatan awal mendapati suspek mula menyasarkan kawasan di Felda di daerah ini untuk aktiviti jualan tambah nilai judi dalam talian.

"Seterusnya, suspek menumpukan aktiviti jualan di rumahnya yang dijadikan kedai runcit dan menyasarkan penduduk setempat serta penduduk di perumahan berhampiran.

"Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, dia menjalankan perniagaan menjual barang runcit dan pelbagai jenis roti sehingga dikenali kedai 'Mek roti' dalam kalangan penduduk setempat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a)/ 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Jelas Hanyan, pihaknya juga dimaklumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) cawangan Kemaman sudah menjalankan operasi pemotongan bekalan elektrik di rumah berkenaan mengikut Seksyen 21 A (1) ARJT 1953, jam 12 tengah hari kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya tidak terjebak dalam kegiatan judi dalam talian atau jenayah lain.