Bekas pegawai bank rugi lebih RM167,000 diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan (Gambar kecil: Anbalagan)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Anbalagan)
A
A
A

BALIK PULAU- Seorang bekas pegawai bank kerugian RM167,999.50 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki berusia 65 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon kononnya daripada Pos Laju yang memaklumkan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan dan lima keping kad bank dikirimkan kepadanya.

Menurutnya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada anggota Balai Polis Sabah yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Chong Sin Han sebelum memaklumkan lelaki terbabit terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

"Bagi siasatan lanjut panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai ASP Yong yang kemudiannya meminta mangsa memberikan maklumat akaun bank untuk siasatan lanjut.

"Pada 20 Jun lalu, ASP Yong sekali lagi menghubungi mangsa supaya memberikan nombor kod pengesahan transaksi sebelum dia mendapati duit di dalam akaunnya hilang sebanyak RM9,999.50 selepas ia dipindahkan ke sebuah akaun bank lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anbalagan berkata, sejak 20 Jun hingga 10 Julai lalu, mangsa telah memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek sehingga mencecah RM158,000.

Katanya, selepas membuat bayaran ASP Yong mengarahkan mangsa untuk mengoyak dan buang semua resit transaksi berkenaan.

Menyedari dia telah diperdaya sindiket berkenaan, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kes seperti ini selalu dilaporkan berlaku namun masih ada lagi yang terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan bagi mengenalpasti pemilik akaun yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.