Cub Prix penanda aras penganjuran pertandingan sukan era Covid-19

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

KEJUARAAN Cub Prix Malaysia Petronas 2020 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bermula hari ini, menjadi penanda aras dalam penganjuran pertandingan sukan lain selepas ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, penganjur acara sukan lain seperti Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), boleh mengambil perlumbaan dua roda itu sebagai model dalam penganjuran kejohanan ketika pandemik koronavirus (Covid-19) ini.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak, termasuk petugas SIC dan pasukan bertanding. Ini boleh dijadikan sebagai model untuk melaksanakan pertandingan lain, bukan sahaja sukan permotoran tetapi sukan lain juga.

“Saya yakin sekiranya keadaan bertambah baik dan rakyat Malaysia terus mematuhi SOP, tahun depan, misalnya Sukma (Sukan Malaysia) kita boleh melihat kebenaran untuk penonton ke venue pertandingan,” katanya pada sidang media selepas melawat penganjuran perlumbaan itu di sini, hari ini.

Pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix 2020 menjadi pertandingan pertama yang diadakan di negara ini, selepas kerajaan membenarkan penganjuran pertandingan dan kejohanan perseorangan secara domestik tanpa melibatkan penonton bermula 15 Julai.

Wan Ahmad Fayhsal turut memuji usaha pihak penganjur untuk meningkatkan penglibatan peminat menerusi media sosial dan penyiaran walaupun perlumbaan terpaksa diadakan tanpa penonton.

Ditanya mengenai penyambungan balik kejohanan bola sepak Liga Malaysia, beliau berkata pihak kementeriannya masih dalam proses perbincangan bersama MKN dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, juara bertahan kategori CP150, Ahmad Afif Amran dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing bersyukur dapat kembali berlumba di litar, walaupun agak sunyi tanpa gelagat penyokong.

Artikel Berkaitan:

“Tekanan untuk mempertahankan kejuaraan bagi kali kedua berturut-turut memang ada, tapi saya akan tetap fokus pada perlumbaan. Walaupun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), persiapan berlangsung seperti biasa di rumah,” kata pelumba berusia 25 tahun itu.

Musim 2020 yang sepatutnya bermula pada Mac lalu, melibatkan lapan perlumbaan di litar kekal, iaitu SIC Utara pada 17-18 Julai; Tangkak, Johor (22-23 Ogos); SIC Selatan (2-3 September); Kuala Terengganu (18-19 September), Tangkak (10-11 Oktober); SIC Selatan (31 Oktober-1 November); SIC Utara (belum ditentukan) dan Tangkak (12-13 Disember).

Tujuh kategori dipertandingkan pada musim ini, iaitu CP125, menggantikan CP115 yang dipertandingkan sejak 2009; CP150, Wira, Petronas Sprinta Pro-Am Cup, Honda Dash 125 Challenge, Yamaha Petronas Super Series dan Aeon Credit Service Yamaha NVX Challenge. - Bernama