PGK baharu faktor ramai dalam kategori miskin

Ahmed Razman
Ahmed Razman
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah pengukuran Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional baharu berasaskan metodologi 2019 menyebabkan lebih ramai isi rumah di Malaysia kini dianggap miskin atau berada di bawah paras kemiskinan.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, sedangkan sebelum ini PGK diukur menggunakan metodologi lama, apabila pada tahun 2005 ia menunjukkan hanya 0.4 peratus melibatkan 24,000 isi rumah atau seramai 100,000 rakyat dianggap miskin.

Beliau berkata, peratusan itu dianggap rendah pada masa tersebut sehingga kerajaan menganggap sudah membasmi kemiskinan atau hampir tiada rakyat miskin di Malaysia.

Namun katanya, apabila tahap pengukuran itu dibuat berdasarkan metodologi baharu 2019 yang diubah suai dan ia menyebabkan peratusan kemiskinan atau PGK naik pada kadar 5.6 peratus melibatkan 405,441 isi rumah.

"Disebabkan itu maka timbul pertanyaan orang ramai, mengapa mereka tiba-tiba jadi miskin dan orang yang dikategorikan miskin menjadi begitu ramai.

"Jika kita cuba aplikasikan metodologi baharu PGK 2019 ini pada tahun 2005, ia akan menunjukkan lebih kurang 500,000 isi rumah berada bawah paras kemiskinan iaitu pada kadar 7.6 peratus.

"Jadi kalau ikut peratusan atau jumlah kemiskinan daripada metodologi baharu, sebenarnya kita sudah mengurangkan sebanyak 2 peratus atau 100,000 isi rumah," katanya pada Wacana Sinar ke-180 bertajuk PGK: Rakyat Malaysia Makin Miskin? di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Wacana Sinar ke-180 bertajuk PGK: Rakyat Malaysia Makin Miskin? di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Wacana Sinar ke-180 bertajuk PGK: Rakyat Malaysia Makin Miskin? di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Katanya, walaupun PGK dikemaskini tetapi untuk memastikan kemiskinan kekal pada paras merupakan satu cabaran, namun mengiktiraf metodologi baharu adalah satu langkah proaktif.

Turut menjadi panelis pada program itu adalah Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Syerhan Nizam Abdul Aziz dan Pensyarah Kanan Institusi Penyelidikan Khazanah, Hawati Abdul Hamid dan Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, terdapat banyak statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan peningkatan pendapatan purata atau pendapatan penengah isi rumah termasuk purata perbelanjaan isi rumah di peringkat nasional dan negeri.

Beliau berkata, setiap tahun pendapatan serta perbelanjaan isi rumah ini meningkat pada kadar yang hampir sama iaitu 3.7 peratus.

"Jika pendapatan isi rumah meningkat ia satu perkara yang positif tetapi sebenarnya apabila dibandingkan dengan peningkatan perbelanjaan isi rumah dan peratusannya sama, ini bermaksud ia adalah pendapatan lebih guna.

"Sebagai contoh, kalau lihat orang kaya (T20), pendapatan lebih guna dia tinggi berbanding kalau B40, perbelanjaan naik tapi pendapatan boleh guna rendah dan masih tak boleh menyimpan," katanya.

Katanya, disebabkan itu, jika PGK diukur berdasarkan pendapatan atau perbelanjaan tetapi kadar pertumbuhan sama, bermakna masyarakat atau isi rumah tiada peningkatan dari segi kualiti hidup sendiri dan sukar untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Selain itu, Ahmed Razman berkata, dengan adanya PGK baharu ini, ia dilihat sebagai masa terbaik untuk kerajaan menilai semula dan membuat pelbagai polisi atau dasar-dasar baharu mengikut keperluan bagi menangani kemiskinan terutamanya untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021 November ini serta Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada tahun depan.

"Ia juga masa terbaik untuk mengemaskini dasar-dasar lain berkaitan gelandangan, OKU, orang asal termasuk warga emas yang semakin ramai kerana jika tiada pendapatan mereka juga boleh dikategorikan sebagai miskin

"Selain itu, kerajaan juga perlu melihat isu pengangguran di mana pada April lalu seramai 780,800 orang dilaporkan menganggur dan ia dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun dan mungkin lebih ramai akan jatuh ke bawah paras kemiskinan," katanya.