X

Kindly register in order to view this article
!

Gambar lama ditular semula

Gambar lama yang tular di media sosial mengenai sebuah hotel di Muar yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.
A
A

JOHOR BAHRU - Gambar memaparkan beberapa individu dipercayai warga asing sedang beratur di hadapan sebuah hotel yang disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran di Jalan Haji Abu Bakar, Muar merupakan gambar lama yang tular semula.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis Johor melakukan tiga serbuan ke atas premis tersebut pada 10 Jun 2018, 4 September 2018 dan 11 Julai 2019.

Katanya, hasil daripada serbuan dilakukan itu seramai 19 individu terdiri daripada sembilan wanita tempatan, tiga lelaki tempatan, dua wanita warga Indonesia serta lima lelaki warga asing ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 372 A Kanun Keseksaan, 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959/63.

"Pada 15 Julai, polis Johor mengesan maklumat dari Facebook Crime Watch yang menyatakan menerima satu maklumat terdapat aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Jalan Haji Abu Bakar, Muar.

"Gambar tersebut merupakan gambar lama ditularkan seolah- olah polis tidak ambil sebarang tindakan. Siasatan yang dilakukan mendapati hotel berkenaan telah tutup dan tidak lagi menjalankan operasi sejak Mac tahun ini. Hasil siasatan juga mendapati kawasan tersebut merupakan tumpuan warga asing melepak, terutama pada hujung minggu kerana berdekatan bank dan kedai telefon bimbit," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ayob Khan mengingatkan orang awam supaya tidak menyalahgunakan aplikasi media sosial dengan menyebarkan berita palsu bagi tujuan membuat spekulasi tanpa mengetahui perkara yang benar di mana ia boleh menggugat ketenteraman awam dan menimbulkan persepsi negatif kepada polis.

"Polis Johor amat mengalu- alukan sebarang maklumat daripada orang ramai namun mereka dinasihatkan tidak menyalahgunakan aplikasi media sosial," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!