Akauntan didakwa 143 pertuduhan pecah amanah

Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan pecah amanah berjumlah RM38,000 di Manjung tiga tahun lalu.
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan pecah amanah berjumlah RM38,000 di Manjung tiga tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 143 pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM38,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Husna Atiqah Shuib, 32, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Abu Hassan.

Ibu kepada tiga anak itu didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan menyalahgunakan harta berjumlah antara RM10 hingga RM3,592 dan menjadikannya harta sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Manjung antara November 2017 hingga April 2018.

Bagi setiap kesalahan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan berjumlah RM30,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam S Dharmanathan merayu agar anak guamnya diberi jaminan rendah dengan alasan menyara tiga anaknya yang berusia lapan, enam dan dua tahun.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: