Ahmad Faizal tawar diri jadi Timbalan Presiden Bersatu

Ahmad Faizal ketika ditemui media hari ini.
Ahmad Faizal ketika ditemui media hari ini.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia memikul amanah dan tanggungjawab besar selaku Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, beliau menawarkan diri untuk jawatan berkenaan dengan harapan besar dapat memberi kerjasama dan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti.

"Ini bukan satu perkara perlu dibanggakan, tetapi satu amanah yang tentunya datang dengan izin ALLAH.

"Saya tawarkan diri dan cuma ada satu calon tunggal untuk jawatan itu yang membolehkan saya dinamakan sebagai timbalan presiden apabila tiba masanya nanti dan saya cuma dapat memberi komitmen untuk jalankan amanah ini sebaik yang boleh," katanya kepada pemberita hari ini.

Pengerusi Bersatu Perak itu turut bertekad memperkukuh parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi apa juga kemungkinan termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Secara keseluruhannya, saya dapati majoriti ahli Bersatu memberi sokongan padu kepada Presiden kita, itu paling penting dan saya lihat juga dengan kepimpinan Presiden ini, lebih ramai orang berminat untuk menjadi ahli Bersatu.

"Jadi saya bertekad untuk terus memperkukuh parti, meramaikan ahli dan memberi kekuatan kepada Presiden yang juga Perdana Menteri dalam mentadbir kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, beliau berkata, perkara itu masih belum dibincangkan termasuk di peringkat pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu apabila sudah ditentukan kelak, ahli komponen lain akan memberi sokongan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal menziarahi mendiang M Yougan yang merupakan Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong Pas Perak di Taman Tambun di sini.

Mendiang berusia 33 tahun yang juga Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.

Dalam satu kenyataan media semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan Muhyiddin dan Ahmad Faizal masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pengumuman rasmi untuk kedua-dua jawatan itu hanya akan dibuat selepas semua bahagian bersidang pada 22 Ogos ini.

ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin menang tanpa bertanding jawatan Presiden Bersatu