Samun mangsa dikenali menerusi WeChat, polis tahan empat lelaki

PDRM
PDRM
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan empat lelaki anggota geng samun berkumpulan yang dipercayai aktif di sekitar daerah ini dengan menyasarkan mangsa yang dikenali menerusi laman sosial wechat.

Ketua Polis Bandaraya, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua suspek berusia antara 21 dan 27 tahun itu ditahan di sekitar bandaraya ini dalam operasi sejak 16 Januari lepas.

“Terdahulu polis menerima laporan mengenai satu kes samun di salah sebuah pusat membeli belah di sini kira-kira jam 3 pagi 15 Januari lepas. Hasil siasatan dan risikan polis berjaya menahan kesemua suspek termasuk beberapa barangan milik mangsa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi kumpulan samun berkenaan adalah menyamar sebagai wanita di laman sosial wechat sebelum mencari mangsa lelaki yang kemudiannya diajak keluar ke sesuatu lokasi sebelum di samun.

Sementara itu, Habibi berkata polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 24 dan 26 tahun kerana dipercayai terlibat dalam satu kes pecah rumah di Kampung Sembulan Tengah di sini 15 Januari lepas.

"Kedua-dua suspek berkenaan berjaya ditahan kurang 24 jam selepas kejadian itu di sekitar kampung berkenaan dan dengan tertangkapnya suspek berkenaan kita berjaya menyelasaikan lima kes pecah rumah di sekitar daerah ini," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: