Pembinaan empangan Habsyah hampir cetus peperangan

Gambar fail menunjukkan pembinaan Empangan Agung Renaisans Habsyah dekat Guba, Habsyah pada 26 Disember 2019. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan pembinaan Empangan Agung Renaisans Habsyah dekat Guba, Habsyah pada 26 Disember 2019. - Foto AFP
A
A
A

EMPANGAN Agung Renaisans Habsyah (GERD) menjadi punca ketegangan di lembangan Sungai Nil sejak negara itu melakukan kerja-kerja pembinaan pada tahun 2011.

Bagaimanapun, Mesir dan Sudan bimbang empangan setinggi 145 meter dan sepanjang 1,708 meter serta mempunyai kapasiti 6,400 megawatt itu akan mengehadkan bekalan air yang penting.

Menurut portal berita BBC, apabila siap sepenuhnya, ia akan menjadi loji hidro elektrik terbesar di Afrika dengan menyediakan tenaga elektrik kepada kira-kira 65 juta penduduk Habsyah.

Lembangan Nil merentasi 11 buah negara.

Sungai Nil Biru dan Sungai Nil Putih bergabung di Sudan dan mengalir ke Mesir dan menuju ke Mediterranean.

Empangan bernilai kira-kira AS$4.8 bilion (RM20.50 bilion) itu dibina kira-kira 15 kilometer dari sempadan Sudan dan menurut portal berita CBC, Mesir mendakwa Habsyah perlu mengambil kira risiko kemarau seperti yang menyebabkan Lembangan Nil terjejas pada lewat tahun 1970an dan 1980an.

Menurut portal International River, empangan itu akan membanjiri 1,600 kilometer persegi hutan di barat laut Habsyah iaitu sebuah kawasan yang menyamai empat kali ganda saiz Kaherah di Mesir.

Ia juga menyebabkan kira-kira 20,000 orang hilang tempat tinggal di Habsyah dan menghasilkan sebuah takungan air yang mempunyai kira-kira 70 bilion meter padu air.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurut portal berita MailOnline, perbalahan tentang empangan itu menyebabkan hampir berlakunya peperangan.

Perbalahan tentang empangan itu bermula pada tahun 2011 ketika politik Mesir berada dalam keadaan tidak stabil berikutan protes Arab Spring yang menyebabkan Allayarham Hosni Mubarak melepaskan jawatan presiden sekali gus mewujudkan kelompongan kuasa pada peringkat tertinggi kepimpinan.

Sungai Nil Biru mengalir di Guba, Habsyah pada 28 Mei 2013. - Foto AFP
Sungai Nil Biru mengalir di Guba, Habsyah pada 28 Mei 2013. - Foto AFP

Habyah pula ketika itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Meles Zenawi telah melancarkan Pelan Pertumbuhan dan Transformasi selama lima tahun dengan pembinaan empangan itu menjadi impiannya.

Negaranya pernah menjadi antara termiskin kemudian telah muncul dengan pertumbuhan ekonomi tidak disangka, kadar kemiskinan dan buta huruf berkurangan serta jangka hayat penduduk meningkat dalam tempoh satu dekad.

Namun, negaranya masih ketinggalan dengan 65 peratus penduduknya tidak mempunyai bekalan elektrik.

Empangan itu dijangka mengubah keadaan apabila ia menyediakan tenaga elektrik yang mencukupi bukan sahaja kepada penduduk di Habsyah tetapi juga boleh dieksport ke negara-negara jiran, menjana keuntungan dan menyediakan banyak peluang ekonomi kepada keseluruhan wilayah tersebut.

Bagaimanapun, Zenawi meninggal dunia pada tahun 2012 selepas berikrar bahawa empangan itu akan siap dibina tanpa mengira berapa jumlah kos yang perlu dibayar.

Habsyah memilih untuk tidak mendapatkan pinjaman antarabangsa untuk membiayai empangan tersebut.

Sebaliknya, negara itu melakukan pinjaman dan meminta penduduknya membiayainya.

Bank Pusat Habsyah, firma perniagaan utama dan rakyatnya didesak dengan sebahagian berkata, mereka dipaksa membeli bond serta membiayai projek tersebut.

Ketegangan akan menjadi lebih serius jika tiada kata sepakat dicapai berhubung pembinaan Empangan Agung Renaisans Habsyah. - Foto AFP
Ketegangan akan menjadi lebih serius jika tiada kata sepakat dicapai berhubung pembinaan Empangan Agung Renaisans Habsyah. - Foto AFP

Penduduk di negara tersebut yang tinggal di luar negara juga menyatakan mereka turut menghadapi tekanan untuk membelinya.

Walaupun China tidak terlibat secara langsung dengan pembinaan empangan itu, Habsyah merupakan penerima utama pinjaman negara tersebut.

Habsyah menerima pinjaman dengan jumlah kedua tertinggi dari negara Afrika iaitu AS$3.26 bilion (RM13.92 bilion), menurut Inisiatif Penyelidikan China-Afrika.

Hampir semua pinjaman itu dibayar selepas pembinaan empangan itu bermula.

Habsyah, Mesir dan Sudan kini dalam perbincangan yang diawasi oleh Kesatuan Afrika (AU) bagi menyelesaikan perbalahan mengenai empangan tersebut.

Bagaimanapun, Habsyah menurut AFP, mengeluarkan satu kenyataan pada malam Selasa lalu dengan menyatakan tiada kata penyelesaian dicapai tetapi menjangkakan rundingan damai AU akan diteruskan.

Perdana Menteri Hasbyah, Abiy Ahmed sebelum ini pernah berkata di Parlimen pada awal bulan ini bahawa: "Jika Habsyah tidak bertindak mengisi air ke dalam empangan tersebut, ini bermakna Habsyah bersetuju untuk memusnahkannya."

Pengisian air ke dalam empangan itu berlaku pada bulan ini.

Sementara itu, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry dilaporkan memberi amaran bahawa jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal campur tangan dalam konflik tersebut, ia akan membahayakan seramai 150 juta penduduk Mesir dan Sudan.

Kementerian Luar Mesir juga mengeluarkan satu amaran bagi meminta penjelasan berhubung kenyataan bahawa Habsyah sudah memasukkan air ke dalam empangan tersebut.

Dalam satu kenyataan pula, Sudan menolak sebarang tindakan satu pihak ketika rundingan mengenai empangan itu masih diteruskan.

Pada bulan Mei lalu, Menteri Pengairan Habsyah, Seleshi Bekele berkata, empangan itu kini telah siap sebanyak 73 peratus. - Agensi