Praktikkan teori Black Swan

Tanpa vaksin yang boleh membunuh Covid-2019, Deloitte meramalkan mungkin ramai bakal terkorban. - Foto: Agensi
Tanpa vaksin yang boleh membunuh Covid-2019, Deloitte meramalkan mungkin ramai bakal terkorban. - Foto: Agensi
A
A
A

ISTILAH Black Swan diperkenalkan Nassim Nicholas Taleb pada 2007. Merenung kepada krisis Lehman Brothers, Taleb percaya istilah Black Swan merujuk kepada insiden yang sangat besar dan tidak terjangka.

Seperti pandemik Covid-19. Deloitte menjelaskan kesan Black Swan memaksa syarikat di seluruh dunia merancang dan mengubah semula model perniagaan terutama rantaian bekalan global.

Tanpa vaksin yang boleh membunuh Covid-19, Deloitte meramalkan mungkin ramai bakal terkorban. Sehingga pertengahan Julai lalu, lebih 13 juta orang dijangkiti dan lebih 500,000 terkorban.

Covid-2019 juga memberi kesan kepada ekonomi dan kewangan global. Justeru, Deloitte mencadangkan pengurusan risiko yang mampan.

Perkataan risiko dikaitkan dengan konatasi negatif. Pengalaman silam membuktikan banyak perkara berlaku di luar jangkaan manusia.

Pandemik Covid-19 ialah satu bencana yang sama sekali tidak dijangka. Kesannya mencakupi semua bidang termasuk ekonomi, kesihatan, sosial dan pendidikan.

Normal baharu dan perlaksanaan pengurusan risiko terpaksa diperkenalkan bagi memastikan kesan akibat pandemik Covid-19 dapat diminimumkan.

Islam memperaku pengurusan risiko dalam Rukun Iman Ke-6 iaitu `Qada dan Qadar’. ALLAH SWT mengingatkan manusia tentang pengurusan risiko dalam Surah al-Baqarah [2:95] bermaksud: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama ALLAH, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha) perbuatan kamu, sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Artikel Berkaitan:

Penulis suka mengingatkan tentang pengurusan risiko bidang kejuruteraan. Seharusnya faktor keselamatan (factor of safety) dinyatakan secara tegasan maksimum, biasa atau nyata. Teori kegagalan bahan juga contoh `black swan’ dalam kejuruteraan.

Ketidakmampuan meramal kegagalan bahan akibat faktor suhu, daya tekanan atau beban, boleh membawa kepada kemusnahan. Teori kegagalan dicetuskan dua jurutera, VD Azzi dan SW Tsai pada 1965.

Sistem Pendidikan Tinggi turut menerima kesan akibat pandemik Covid-19. Pembelajaran dalam talian mengubah sistem yang telah digunakan sejak beribu tahun lalu.

Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta perlu peka terhadap spektrum ancaman dengan lebih mencabar dan mendalam supaya lebih proaktif.

IPT wajar memikirkan pembangunan `entiti perindustrian’ mengambil kira pendekatan pengurusan risiko supaya tidak bertentangan dengan pengurusan ala ‘silo’.

Risiko

Harvad Business Review pernah menerbitkan artikel bertajuk ‘Strategic Planning - Managing Risks: A New Framework’ tulisan Dr Robert Kaplan dan Dr Anette Mikes. Artikel tersebut menyarankan agar risiko dikendalikan melalui model berdasarkan peraturan dan pendekatan alternatif. Kajian cabaran dicanai menerusi perbincangan terbuka. Seterusnya perancangan dibentuk keputusan yang dicapai.

Pengalaman penulis membuktikan pengurusan risiko dalam sektor pendidikan dan korporat harus dikendali mengikut perbezaan kualitatif jenis risiko yang sedang dan bakal dihadapi. Kajian lapangan membuktikan pengurusan risiko mesti dipecahkan kepada risiko boleh cegah, strategi dan luaran.

Justeru, mengapa `black swan’ atau pengurusan risiko sukar diterima pada sesuatu organisasi? Telahan awal penulis ialah prasangka dan penilaian sempit membunuh idea seseorang.

Gangguan luar boleh diurus berdasarkan Surah al-Fushshilat [41:10-13]. Normal baharu mesti dilakukan termasuk menuntut keterbukaan dalam berfikir dan tidak mempertikaikan isu keberadaan, work from home (WFH) atau bekerja secara remote sebagaimana rancak dilaksanakan di Eropah ketika ini

Penulis juga mencadangkan tampuk kepimpinan sesebuah organisasi menguruskan risiko dengan strategi terbaik. Pengurusan risiko wajar memberi tumpuan lebih kepada ancaman dan kegagalan berbanding peluang dan kejayaan sebagaimana disebut penulis sebagai `berfikiran negatif ialah perkara positif’.

Kegagalan pengurusan risiko berlaku apabila kepimpinan organisasi cenderung memperlekehkan masalah. Jika teori Black Swan dipraktikkan termasuk dengan mengambil kira pengurusan risiko berhemah, penulis percaya organisasi mampu terus bertahan dalam era pasca Covid-19. Penutupan operasi, pembuangan pekerja atau pengecilan saiz syarikat boleh diatasi.

Kesimpulannya, penulis percaya sikap (attitude) memainkan peranan besar dalam memerangi kesan pasca pandemik Covid-19 di negara ini. Prasangka dan kurang percaya kepada seseorang boleh membunuh normal baharu sekali gus merencatkan perkembangan dan pertumbuhan sesebuah organisasi.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor