Bangkit cari solusi, usah biar diri berduka

Berdoalah kepada ALLAH SWT selepas kita berusaha agar kita terus kuat untuk bangkit.
Berdoalah kepada ALLAH SWT selepas kita berusaha agar kita terus kuat untuk bangkit.
A
A
A

TIDAK dinafikan pekerja yang diberhentikan serta-merta pasti buntu memikirkan langkah seterusnya untuk menyara diri dan keluarga selepas hilang punca pendapatan gaji bulanan. Sedang enak mengecapi kesenangan hidup bertahun-tahun, tidak menyangka pula dugaan datang bertimpa-timpa.

Jika dulu mampu memperoleh gaji ribuan ringgit, kini kosong. Wang simpanan pula surut sedikit demi sedikit dek terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman bank dan komitmen sampingan. Situasi tersebut pasti wujud dan sedang berlaku dalam kalangan masyarakat tempatan pada hari ini. Hal demikian berlaku gara-gara makhluk pembunuh yang dikenali sebagai virus Covid-19 yang mana kini masyarakat dunia terkesan.

Pada awal Jun lalu, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut merekodkan isu kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun 2020 (Q1 2020). Dalam laporan bertajuk 'Employment Outlook, the 1st Quarter of 2020, Volume 4/2020, The Impact of Covid-19 on Loss of Employment (LOE)', SIP memaklumkan trend itu dijangka meningkat 50 peratus kepada 200 peratus tahun ke tahun bagi setiap suku berikutnya pada 2020.

Sementara itu, angka pemberhentian pekerja dijangka sama seperti ketika Krisis Kewangan Asia pada 1997 berikutan langkah pencegahan menerusi Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU) yang diambil kerajaan untuk mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Semua industri perniagaan terjejas, ekonomi dunia tiba-tiba jatuh merudum. Ramai individu hilang pekerjaan dan tiada lagi sumber pendapatan. Masing-masing tidak keruan, sekali gus mendakwa menjadi ‘mangsa keadaan’.

Usaha

Tidak dapat dielakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac lalu secara tidak langsung menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Impaknya, majoriti rakyat kehilangan punca pendapatan. Justeru, nasihat klise yang boleh diberikan untuk menenangkan kebuntuan adalah bersabar, bersabar dan terus bersabar.

Bagaimanapun, keadaan berterusan melengung dan bermuram durja tanpa apa-apa usaha yang mendatangkan manfaat. Beringat ya bahawa rezeki itu tidak datang bergolek. Bukankah lebih baik untuk mencuba pekerjaan lain. Jika sebelum ini kerja makan gaji, mungkin normal baharu masyarakat berjinak-jinak dengan bekerja sendiri. Usaha mendapatkan punca pencarian lain adalah sangat wajar sekiranya cubaan mendapatkan kerja baharu sentiasa gagal. Usah terus berpeluk tubuh membiarkan keluarga terbiar kelaparan.

Penulis bukanlah ingin memberi nasihat bagaimana cara untuk memulihkan ekonomi, sebaliknya memberi pedoman untuk menghilangkan rasa dukacita dan gundah-gulana, agar individu terbabit dapat bangkit memperbaiki keadaan dan mengubah nasib. Manusia berduka bukan hanya kerana ketiadaan wang. Ada banyak asbab lain. Apa pun pun puncanya, jangan main-main dengan perasaan dukacita, kerana ia boleh membawa kepada peringkat yang lebih teruk. Justeru, elak daripada berlarutan.

Artikel Berkaitan:

Dukacita itu bermulanya daripada perasaan sedih. Apabila kesedihan tidak dapat dibendung, perasaan itu akan meresap lebih mendalam ke benak jiwa sehingga perkara yang lebih buruk bakal berlaku. Andai duka lara menguasai perasaan, bimbang seseorang itu juga hilang pertimbangan sehingga gagal menguruskan diri.

Memetik kata-kata Prof Dr Hamka (Buya Hamka) atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah dalam bukunya, Tasawuf Modern, ini antara pedoman buat sesiapa sahaja yang sedang berdukacita. Biar apa pun puncanya, ulama itu berpesan:

“Kalau berdukacita memikirkan keberuntungan, kekayaan dan kemuliaan yang telah lalu, kedukaannya tidak berfaedah sama sekali. Ini kerana segala kejadian yang telah lalu itu, walau bagaimana diratapi sekalipun, tidak akan kembali.

"Sedangkan masa dua minit yang lalu pun, walau dikejar dengan mesin terbang yang melebihi kecepatan suara, tidak mungkin dapat dikejar. Justeru apa guna meratapi yang telah berlalu, kerana ia tetap tidak akan kembali. Bahkan hanya mengundang keburukan, lantaran jika diratapi berterusan, boleh merosakkan badan. Janganlah terus kecewa, segera dapatkan pedoman hilangkan duka,” tulis Hamka.

Petikan itu bermaksud individu haruslah melupakan keadaan kesenangan yang lepas, abaikan rasa kerugian, lupakan segala rasa terkilan di hati. Siapa kita untuk mengubah takdir? Yang dulu tidak akan kembali melainkan kita berusaha semula untuk mendapatkan semula yang hilang.

Segera bangkit mencari solusi, dengan usaha dan doa.

*Faizul Hakimi Zulkifli ialah Wartawan Rencana (Lifestyle) SinarPlus, Sinar Harian