Tiada kompromi salah guna aset kerajaan

Wan Azizah membantu menggoreng ayam ketika tiba sempena majlis tersebut, hari ini.
Wan Azizah membantu menggoreng ayam ketika tiba sempena majlis tersebut, hari ini.
A
A
A

KUALA LIPIS - Satu siasatan lengkap akan dijalankan berikutan isu penyalahgunaan aset dan jentera milik kerajaan oleh seorang timbalan menteri yang menimbulkan kontroversi pada kempen PRK Cameron Highlands kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu, perkara tersebut sudah jelas dan selaras dengan polisi PH mengenai penggunaan jentera kerajaan.

Menurutnya, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan aset terbabit.

"Kalau betul dan terbukti bersalah, ia tetap salah. Kita sudah beri peringatan sebelum ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya turun kempen guna kenderaan sendiri']

"Kita cuba untuk elakkan semua bentuk kontroversi, macam kami bertiga hari ini ambil cuti dan datang dengan kenderaan sendiri cuma disebabkan ada jawatan lain (Timbalan Perdana Menteri) jadi adalah polis yang mengiringi kenderaan, itu pun cuba jarakkan kenderaan dengan kumpulan pengiring," katanya tindakan akan diambil setelah siasatan dijalankan.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama penduduk Kampung Keledek, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Fuziah Salleh dan Pengerusi Amanah Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pada Ahad lalu, satu klip rakaman tersebar memaparkan kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan negeri didakwa digunakan oleh jentera parti melibatkan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Sementara itu, Wan Azizah turut menegaskan tiada pihak yang boleh menggunakan sebarang kenyataan atau teks ucapan tanpa kebenarannya.

Malah beliau enggan melayan dakwaan syarikat telekomunikasi, Xiddig Cellular Communications Sdn. Bhd. (Xiddig) kononnya mereka telah pun mendapat kebenaran bagi menggunakan teks ucapan tersebut.

“Saya sudah keluarkan kenyataan. Dia (penganjur) boleh mempertikaikan atau cakap apa sahaja.

“Ini apa yang mereka nak (menjemput ).Tapi bila saya tak datang, tak bolehlah pakai kenyataan saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Azizah enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada akan mengenakan tindakan terhadap penganjur atau tidak.