X

Kindly register in order to view this article
!

Ancaman Covid-19 masih tinggi

Orang ramai beratur untuk melakukan ujian saringan di Lincoln Park di Los Angeles, California di AS selepas negeri terbabit menyaksikan lonjakan kes jangkitan Covid-19. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Jangkitan koronavirus (Covid-19) menyaksikan lonjakan di seluruh dunia semalam hingga memaksa beberapa negara menangguhkan langkah pembukaan semula ekonomi dan mengenakan kembali sekatan baharu bagi mengekang penularan wabak itu.

Jumlah jangkitan Covid-19 kini mencecah lebih 13.4 juta kes dan lebih 580,000 kematian dalam tempoh kira-kira tujuh bulan sejak ia pertama kali dikesan di China pada akhir tahun lalu.

Keadaan dijangkakan semakin buruk di Amerika Syarikat yang mencatatkan angka tertinggi dengan 3.5 juta kes jangkitan dan lebih 137,000 kematian.

Puluhan ribu kes baharu dilaporkan di Washington setiap hari ketika negara itu sedang bergelut untuk memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk.

Di Venezuela, negara Amerika Latin itu kembali mengenakan langkah perintah sekatan setempat termasuk ‘kuarantin radikal’ di Caracas kira-kira empat hari selepas ia melonggarkan sekatan.

Sementara itu, Perdana Menteri Ireland, Micheal Marton terpaksa menangguhkan langkah untuk menamatkan sekatan berikutan kes jangkitan virus itu melonjak semula.

Ireland pada mulanya merancang untuk meredakan sekatan fasa terakhir pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, langkah perintah sekatan itu dilanjutkan sehingga 10 Ogos ini dan pemerintah turut mewajibkan pemakaian topeng muka di premis perniagaan.

Wajibkan pakai topeng muka

Model kajian terbaru menunjukkan jumlah korban di AS dijangka meningkat lebih 150,000 pada bulan depan.

“Kita perlu mengambil langkah lebih baik apabila kita melihat angka itu. Kita perlu melakukan penetapan semula. Ayuh hentikan perkara mengarut ini,” kata Pakar Penyakit Berjangkit AS, Anthony Fauci yang turut menyelar Rumah Putih kerana cuba mencemarkan nama baik beliau berhubung usahanya untuk memerangi wabak itu.

Moderna mengumumkan ia akan memulakan peringkat akhir ujian vaksin berpotensi ke atas manusia pada 27 Julai ini. - Foto Agensi
Moderna mengumumkan ia akan memulakan peringkat akhir ujian vaksin berpotensi ke atas manusia pada 27 Julai ini. - Foto Agensi

Akhir minggu lalu, Rumah Putih mengeluarkan senarai kenyataan dibuat Fauci tentang pandemik itu yang didakwa berdasarkan fakta salah perkembangan wabak berkenaan yang dipercayai berpunca daripada perbezaan pendapat antara beliau dan Presiden Donald Trump.

Di Oklahoma, Gabenor Kevin Stitt pula memaklumkan beliau disahkan positif Covid-19.

Stitt, 47, dilaporkan menghadiri kempen pilihan raya Trump di negeri itu pada bulan lalu, namun beliau yakin tidak dijangkiti virus itu ketika berada di acara tersebut.

Beliau juga enggan memakai topeng muka termasuk ketika perhimpunan kempen Presiden ke-45 AS tersebut.

Tetapi, beliau menggesa penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

Penggunaan topeng muka untuk memperlahankan penyebaran virus tersebut terus menjadi perdebatan di AS dan dipercayai menjadi punca lonjakan kes jangkitan terbabit.

Peruncit terbesar dunia, Walmart bagaimanapun mewajibkan pemakaian topeng muka bermula 20 Julai ini sekali gus menyertai langkah diambil kumpulan perniagaan lain di negara terbabit.

“Ia adalah langkah yang mudah dan boleh diambil semua orang untuk keselamatan mereka dan individu lain di kemudahan kami,” kata Ketua Pegawai Operasi, Dacona Smith.

Syarikat terbabit mempunyai lebih 5,300 rangkaian Walmart dan Sam’s Club termasuk di negeri selatan dan barat AS yang menyaksikan peningkatan kes jangkitan.

Ujian vaksin peringkat akhir

Ketika ini, firma bioteknologi AS, Moderna mengumumkan ia akan memulakan peringkat akhir ujian vaksin berpotensi ke atas manusia pada 27 Julai ini selepas keputusan memberangsangkan dalam ujian sebelum ini.

Moderna dianggap mendahului perlumbaan global dalam penghasilan vaksin dan kajian tersebut akan diteruskan sehingga Oktober 2022.

Di rantau Asia Pasifik, terdapat bukti baharu menunjukkan ancaman wabak itu masih tinggi walaupun beberapa negara mendakwa berjaya mengekang penularan virus tersebut.

Semalam, bar, gim dan salun kecantikan ditutup semula di Hong Kong malah bandar raya tersebut turut melarang pertemuan sosial melebihi empat individu selepas bergelut dengan jangkitan gelombang kedua.

Hab kewangan Asia itu telah mewajibkan pemakaian topeng muka ketika menggunakan pengangkutan awam atau bakal berdepan denda AS$650 (RM2,775) jika gagal berbuat demikian.

Di Jepun, kebimbangan kembali meningkat selepas Gabenor Tokyo menaikkan paras amaran kepada tahap tertinggi susulan lonjakan kes jangkitan.

Laluan kereta api dan jalan utama lengang selepas lockdown selama 15 hari dilaksanakan semula di Patna, Bihar di India bermula hari ini. - Foto AFP
Laluan kereta api dan jalan utama lengang selepas lockdown selama 15 hari dilaksanakan semula di Patna, Bihar di India bermula hari ini. - Foto AFP

Perkara itu diumumkan selepas negeri Bihar di India yang mempunyai populasi kira-kira 125 juta penduduk mengisytiharkan lockdown selama 15 hari bermula semalam.

Di England, premis perniagaan seperti pasar raya telah mula mewajibkan pemakaian topeng muka bermula minggu depan manakala di Afrika Selatan yang menyaksikan jangkitan melepasi 300,000 kes melaksanakan semula perintah berkurung di seluruh negara. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!