Sekolah pertama guna i-Hadir

Pelajar SMK Rasau Kerteh B5 menggunakan sistem i-Hadir dengan mengimbas kad bagi merekodkan kehadiran.
Pelajar SMK Rasau Kerteh B5 menggunakan sistem i-Hadir dengan mengimbas kad bagi merekodkan kehadiran.
A
A
A

KEMAMAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rasau Kerteh B5 di sini menjadi sekolah pertama di daerah ini mempelopori sistem kehadiran secara dalam talian lengkap dengan bacaan suhu badan melalui sistem i-Hadir.

Sistem kehadiran guru, murid dan anggota kumpulan pelaksana itu digunakan sejak awal tahun ini, namun ditambah baik dengan memasukkan bacaan suhu seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengetuanya, Mohd Akhir Tompang berkata, sistem i-Hadir menggunakan komputer dan kamera mampu menjimatkan masa merekodkan kehadiran dan suhu badan murid sehingga 70 peratus berbanding kaedah manual.

Mohd Akhir Tompang
Mohd Akhir Tompang

“Sistem ini berfungsi merekodkan kehadiran semasa datang dan waktu pulang dari sekolah melalui QR Code. Ia telah ditambah baik dengan memasukkan bacaan suhu badan yang amat diperlukan sepanjang tempoh PKPP.

“Selain dapat merekodkan kehadiran dan bacaan suhu murid sebelum masuk ke kawasan sekolah lebih cekap, ia juga memudahkan pihak sekolah melaksanakan tindakan susulan berkaitan kehadiran ke sekolah,” katanya.

Menurut Mohd Akhir, inovasi i-Hadir dibangunkan selama enam bulan oleh penyelaras projek, Mohd Syukri Husain hasil kerjasama Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kos sekitar RM1,000.

Ir Saiful Azmi (dua dari kanan) hadir menyempurnakan pelancaran sistem i-Hadir di SMK Rasau Kerteh B5 semalam.
Ir Saiful Azmi (dua dari kanan) hadir menyempurnakan pelancaran sistem i-Hadir di SMK Rasau Kerteh B5 semalam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak tiga unit komputer dan kamera digunakan untuk merekodkan kehadiran 173 murid dan 33 guru serta pentadbir sekolah pada setiap hari persekolahan.

“Data murid yang hadir akan diimbas oleh QR Code, namun setakat ini suhu badan diisi secara manual kerana kita belum sediakan mesin pengimbas suhu yang disambung terus ke pangkalan data atas faktor kewangan.

“Kita dalam proses mendapatkan dana, insya-ALLAH ia akan ditambah baik lagi selepas ini dan sekali gus menjadikan penggunaan sistem i-Hadir seratus peratus automatik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Pelajar SMK Rasau Kerteh B5 yang hadir diambil suhu badan sebelum memasuki sekolah dan diisi dalam sistem i-Hadir.
Pelajar SMK Rasau Kerteh B5 yang hadir diambil suhu badan sebelum memasuki sekolah dan diisi dalam sistem i-Hadir.

Sehubungan itu, beliau berharap penggunaan sistem tersebut dapat diperluaskan ke semua sekolah di Kemaman bagi memudahkan pengurusan kehadiran warga sekolah setiap hari persekolahan.

Pelancaran sistem ini telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Infrastuktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir Saiful Azmi Suhaili.