Laut China Selatan semakin panas

Tentera laut AS mula menggerakkan armada kapal pengangkut pesawat dan kapal tempurnya berdekatan dengan Kepulauan Spratly.
Tentera laut AS mula menggerakkan armada kapal pengangkut pesawat dan kapal tempurnya berdekatan dengan Kepulauan Spratly.
A
A
A

Kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat (AS) yang menegaskan China tidak mempunyai tuntutan wilayah yang sah terhadap Beting Serupai (James Shoal) merupakan kenyataan terbaru dan paling tegas dalam isu konflik maritim di Laut China Selatan.

Isu pertindihan wilayah laut ini semakin panas apabila tentera laut AS mula menggerakkan armada kapal pengangkut pesawat dan kapal tempurnya berdekatan dengan Kepulauan Spratly, kawasan yang menjadi rebutan lima negara iaitu China, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, China tidak memiliki asas tuntutan yang selari dengan undang-undang antarabangsa iaitu Beijing gagal untuk menawarkan asas perundangan koheren bagi menuntut 'Nine-dash lines' di Laut China Selatan secara rasmi sejak pengisytiharannya pada tahun 2009.

"Beting Serupai (kira-kira 20 meter di bawah permukaan) bukan dan tidak pernah menjadi milik China dan Beijing juga tidak boleh menegaskan hak maritim yang sah terhadapnya," katanya.

Beting Serupai atau dipanggil 'Zengmu Ansha' oleh China sering disebut dalam propaganda China sebagai 'wilayah paling selatan China'.

Undang-undang antarabangsa jelas menyebut bahawa ciri bawah laut seperti Beting Serupai tidak boleh dituntut oleh mana-mana negara dan tidak boleh dijadikan zon maritim.

Ketegangan di Laut China Selatan memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didorong peningkatan kegiatan ketenteraan China, termasuk membangunkan pulau buatan, dan AS juga bertindak meningkatkan kehadiran tenteranya sebagai tindak balas terhadap langkah China itu.

Dalam isu ini, Malaysia perlu bijak bagi memastikan keamanan wilayah Asean berterusan. Jika Asean tersilap langkah dalam isu ini, ia tidak mustahil akan merebak menjadi konflik bersenjata dan akhirnya merugikan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, sudah tiba masanya Malaysia dan negara Asean lain mengambil langkah dengan memanggil negara-negara terlibat duduk berbincang bagi memastikan aktiviti tentera di kawasan terlibat dapat dikurangkan.

Mungkin kita boleh wujudkan zon pembangunan bersama di kawasan pertindihan supaya semua pihak dapat manfaat bersama.