Palestin dan Kashmir senasib

Hubungan India dan Israel sangat rapat sejak 1960-an.
Hubungan India dan Israel sangat rapat sejak 1960-an.
A
A
A

Hubungan India dan Israel sangat rapat, malah berasmara akrab sekali. India telah membeli senjata dari Israel sejak 1960-an. Malah Perdana Menteri India, Narendra Modi melawat Israel pada 2017 menandakan sambutan 25 tahun hubungan diplomatik antara India dan Israel.

Kedua negara itu kelihatan sangat ghairah melancarkan operasi pencerobohan brutal terhadap Kashmir dan Palestin. India adalah pengimport terbesar senjata dari Israel iaitu AS$10 bilion sepanjang dekad yang lalu. Polis India menerima latihan dari Israel untuk melaksanakan operasi "anti terrorisme".

Perjuangan Kashmir dan Palestin pasca 9/11 telah direspons oleh India dan Israel sebagai menghadapi "terorisme Islam "Kerangka "terorisme" inilah yang mengabsahkan perdagangan senjata antara Israel, India dan Amerika Syarikat (AS).

Ditambah pula nasionalisme keagamaan Zionisme (suprimasi Yahudi) dan Hindutva (Suprimasi Hindu) secara agresif dijadikan ideologi di sebalik pencerobohan ke atas Palestin oleh Israel dan Kashmir oleh India.

Perjuangan Kashmir dan Palestin untuk menuntut hak menentukan nasib sendiri (self determination) cuba dipencilkan oleh India dan Israel. Perjuangan pembebasan disudutkan sebagai penentangan antara Arab dan Israel serta antara Pakistan dan India.

Keganasan dengan mengguna senjata pembunuh, mengebom, mencedera, menahan, keganasan seksual dan memperkosa, menyeksa, mengepung dan menyekat (blockade) digunakan oleh rejim India ke atas Kashmir dan Israel ke atas Palestin. Kedua-duanya menyasar rakyat awam, termasuk bayi, kanak-kanak dan wanita.

Kashmir melaungkan slogan "Azadi" manakala Palestin mengguna slogan "Muqawwamah". Kedua-dua Palestin dan Kashmir dinafikan kedaulatan politik.

Artikel Berkaitan:

Tentera Israel mengepung Tebing Barat dan Gaza dan India mengepung Jammu Kashmir. Di Jammu Kashmir menjadi kawasan militari terpadat di dunia dengan nisbah satu askar kepada lapan warga awam.

Tahun 1947 melahirkan India dan 1948 melahirkan Israel oleh kuasa imperialis yang sama iaitu British. Wilayah Palestin dirampas oleh Israel dan ratusan ribu kehilangan tanah dan kediaman dan menjadi pelarian pada 15 Mei 1948.

Kashmir pula diserah kepada India tanpa persetujuan warga Kashmir pada 26 Oktober 1947.

PBB mensyaratkan dalam Resolusi 47 Majlis Keselamatan supaya India laksanakan kumpul suara (plebiscite) kepada warga Kashmir tetapi tidak diendahkan oleh India.

Manakala pernyataan Belfour 1917 yang menyatakan Yahudi tidak boleh menjejaskan kepentingan warga Palestin juga tidak dipedulikan oleh Israel. India dan Israel mengisytiharkan penjajahan secara rasmi.

Kini Kashmir berada di bawah rejim BJP Narenda Modi dan Palestin di bawah regim Likud Benjamin Netanyahu. Kedua-duanya berlumuran darah.

Jangan lupa Modi pernah dinafi visa ke Amerika Syarikat pada 2005 kerana bertanggungjawab terhadap pembunuhan massa Muslimin dalam rusuhan Gujarat 2002. Dia digelar " Penyembelih Gujarat " (Butcher of Gujarat).

Nentanyahu pula seperti rejim sebelumnya, digelar "Penyembelih Palestin" kerana terlibat dalam serangan ganas ke atas Gaza pada 2014 yang membunuh 2100 warga Palestin, sepertiga darinya adalah kanak-kanak.

PBB meluncurkan inkuari ke atas Israel tetapi Amerika Syarikat membantah dan kesatuan Eropah dan India berkecuali.

Sehingga kini keganasan Israel ke atas Palestin tidak pernah berhenti. Setiap hari ada sahaja serangan, tangkapan dan pembunuhan.

Demikian juga di Kashmir, keadaannya sama. Pembunuhan tanpa bicara dilancarkan hampir setiap hari. Penggunaan senapang pellet untuk tujuan membuta warga Kashmir telah mencederakan puluhan ribu orang. Meletupkan rumah awam juga sering dilakukan dalam operasi atas nama memburu "teroris".

Jelas kini kita hidup dalam era terorisme dan jenayah perang dilakukan oleh negara sendiri. Tetapi menghukum negara yang kuat dianggap suatu yang mustahil hanya kerana rejim yang memerintah mendapat undi majoriti yang digelar "majoritanisme".

Lantaran itu atas nama demokrasi, pelanggaran hak manusia dibenarkan. Tindakan barbarik seperti di Israel dan India oleh terorisme negara nampaknya boleh dilepaskan tanpa hukuman.

Oleh kerana itu solidariti transnasional terhadap isu Palestin dan Kashmir perlu diperkukuhkan. Hubungan perjuangan kedua-duanya perlu membina kesatuan melalui jaringan dan saling berkongsi. Palestin dan Kashmir telah melalui perjuangan yang hampir sama. Lantaran itu berkongsi pengalaman sepatutnya boleh mengukuhkan keazaman untuk keduanya mengatur strategi di tingkat dunia yang lebih ampuh.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden teras Pengupayaan Melayu