Permaisuri Agong dianugerahkan pingat perkhidmatan WAGGGS

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
A
A
A

SHAH ALAM - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menerima pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan pingat perkhidmatan oleh Lembaga Dunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).

Pengerusinya, Ana Maria Mideros berkata, pingat perkhidmatan WAGGGS itu diberikan kepada Tunku Azizah susulan penglibatan, perkhidmatan serta sumbangan luar biasa Seri Paduka dalam persatuan itu sama ada di peringkat nasional mahupun global.

 Ana Maria Mideros
Ana Maria Mideros

Menurutnya, sebagai Ahli Lembaga Dunia dan kakitangan pasukan itu, pihaknya sangat berterima kasih di atas komitmen tidak berbelah bahagi Tunku Azizah dan ia terserlah melalui pencapaian serta peranan Seri Paduka,

"Antaranya sebagai Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Pahang, Timbalan Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Penaung Diraja Persatuan pandu Puteri Malaysia, Ahli Lembaga Olave Baden-Powell Society dan Penaung Diraja, Friends of Asia Pacific WAGGGS (FAPW) sejak 2015 dengan keahlian sebanyak 31 negara dari rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia.

"Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan khas atas dedikasi dan sokongan Tunku Azizah yang tidak pernah kenal lelah untuk pergerakan," katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Katanya, kesungguhan Seri Paduka juga terpamer dalam memperkasakan kanak-kanak perempuan serta wanita muda sebagai pemimpin bagi generasi seterusnya.

"Tunku Azizah juga menjadi penyokong aktif bagi hak-hak wanita dan kanak-kanak perempuan terutamanya dalam menentang perkahwinan kanak-kanak dan mempromosi pendidikan anak-anak serta pembasmian kemiskinan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ana Maria berkata, Tunku Azizah turut menjadi inspirasi kepada ramai individu bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia untuk menjadi ejen perubahan dalam komuniti mereka.

"Pengumuman rasmi berhubung pengiktirafan itu turut dimaklumkan menerusi platform media sosial termasuk di Youtube WAGGGS pada jam 7 petang tadi.

"Penghormatan diberikan ke atas kerja-kerja atau sumbangan Tunku Azizah di Malaysia terutamanya dalam menyokong pembangunan dan pemerkasaan keupayaan individu dan masyarakat melalui penubuhan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah.

"Selain itu, kelab jahitan di Kuantan yang menyokong kekuatan ekonomi wanita, Institut Kemahiran Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Tenun Pahang dan Tenun Pahang Projek Diraja di Penjara Penor.

Menurutnya, pingat perkhidmatan dan sijil rasmi itu dijangka akan disampaikan kepada Tunku Azizah secara langsung pada Persidangan Dunia pada tahun 2021 atau melalui kaedah lain.