1MDB: SPRM maklumkan perintah interim kepada pihak berkuasa UK

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Foto sumber internet
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaklumkan kepada pihak berkuasa di United Kingdom (UK) mengenai perintah interim dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melarang sebarang urusan melibatkan dana berjumlah lebih US$340 juta (RM1.452 bilion) yang disimpan dalam akaun escrow Clyde & Co LLP di London.

Menerusi kenyataannya hari ini, SPRM berkata, perintah interim itu akan dimaklumkan melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada pihak berkuasa negara berkenaan bagi membolehkan dana tersebut dibekukan.

“Berdasarkan hasil siasatan, SPRM percaya bahawa wang tersebut mempunyai kaitan dengan konspirasi penipuan antaranya melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi, Tarek Obaid, ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low serta individu-individu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya,” demikian menurut kenyataan itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan perintah interim bagi melarang urusan dengan harta di luar negara melibatkan wang kira-kira US$340 juta (RM1.452 bilion) yang disimpan di dalam akaun escrow sebuah firma guaman antarabangsa, Clyde & Co LLP di London.

Perintah interim itu dikeluarkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan berkuat kuasa hari ini (16 Julai 2020).- Bernama

Artikel Berkaitan: