Hazimah serah tugas Pengerusi PUNB kepada Noh Omar

Hazimah Zainuddin, Noh Omar
Hazimah Zainuddin, Noh Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin akan menyerahkan tugasnya secara rasmi kepada Tan Sri Noh Omar dalam satu majlis hari ini.

Difahamkan majlis berkenaan juga adalah sempena sambutan ulang tahun PUNB yang ke-29.

Hazimah menyandang jawatan itu sejak 24 September 2018 manakala Noh sebelum ini adalah Pengerusi Lembaga Pengarah MISC Bhd dan melepaskan jawatan itu pada 17 Jun lalu.

Noh akan meneruskan agenda PUNB yang berperanan membangunkan usahawan bumiputera serta menyediakan pembiayaan untuk yang berhasrat mengembangkan perniagaan.

Ia juga bermatlamat untuk meningkatkan penyertaan dan penglibatan bumiputera dalam bidang keusahawanan dan melahirkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang dinamik, berdaya tahan, progresif serta berjaya.

PUNB yang ditubuhkan pada 17 Julai 1991 di bawah Akta Syarikat 1965 adalah milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputera dan beroperasi sebagai sebuah syarikat patuh Syariah sepenuhnya pada 2010.

Sejak 2019, PUNB disenaraikan sebagai syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: