Kerugian lebih RM4.5j akibat Macau, Love dan Parcel Scam

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Kes ‘Macau, Love dan Parcel Scam’ mengakibatkan kerugian lebih RM4.5 juta tahun lepas di daerah Padawan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu menerima 231 laporan kes tipu dan jumlah tangkapan seramai 36 orang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, modus operandi suspek bermula dengan membuat tawaran melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook dengan menawarkan duit atau keuntungan pelaburan serta meminta mangsa membayar wang melalui serahan wang tunai atau secara dalam talian sebelum menghilangkan diri.

“Kebanyakan mangsa adalah perempuan berumur antara 20 hingga 65 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media sempena perhimpunan bulanan IPD Padawan dekat sini, hari ini.

Sementara itu, kadar jenayah di daerah itu sepanjang 2018 menunjukkan penurunan dengan 795 kes jenayah indeks dilaporkan berbanding 905 kes pada tempoh yang sama pada 2017.

“Perbandingan itu menunjukkan penurunan sebanyak 113 kes atau 12.69 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, bahagian siasatan jenayah narkotik pula telah membuka 517 kes yang antaranya terdiri daripada enam kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB), tiga kes Seksyen 39A(2) ADB, 110 kes Seksyen 12(2) ADB dan 374 kes Seksyen 15(1) ADB dengan tangkapan sebanyak 521 warga tempatan dan seorang waga asing.

“Kes memiliki juga menunjukkan peningkatan tangkapan sebanyak tiga kes dengan 136 kes pada tempoh Januari hingga Disember 2018 berbanding 133 kes pada tempoh sama 2017.

“Tahun 2018 merupakan rampasan dadah paling banyak dengan anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM171,488,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: