Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang sepakat isu Palestin

Syed Ibrahim dan Mohamed Nazri pada sidang media di Parlimen hari ini.
Syed Ibrahim dan Mohamed Nazri pada sidang media di Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia secara konsisten mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang meneruskan rancangan pengilhakan (ambil alih secara paksa) tanah milik Palestin di Tebing Barat.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Ledang (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh mencadangkan kerajaan menggunakan platform Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tindakan susulan terhadap Israel.

Menurutnya, OIC perlu menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) untuk mengusir Israel daripada perhimpunan dan semua agensi PBB kerana Israel secara berterusan gagal memenuhi kewajipan dan mematahui akur janji mereka sebagai anggota PBB.

“Kita mencadangkan supaya ada satu petisyen ditandatangani oleh semua ahli Parlimen di kedua belah pihak sebagai satu isyarat jelas bantahan terhadap rancangan Israel.

“Petisyen ini dicadangkan dibawa kepada kedutaan Amerika Syarikat, PBB, Kesatuan Ahli-Ahli Parlimen Serantau termasuk IPU (Kesatuan Antara Parlimen) dan juga Asean,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Turut sama, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang juga Timbalan Pengerusi IPU Malaysia.

Menurut Syed Ibrahim, cadangan tersebut disuarakan beliau dalam usul perbahasan di Kamar Khas Parlimen pada jam 2.30 petang hari ini bagi menunjukkan kesepakatan dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam isu Palestin.

Cadangan lain katanya, ahli Parlimen perlu membawa mesej kesedaran melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan masing-masing dan memanfaatkan jaringan mereka di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Kita memohon kerajaan mengiktiraf, menyokong dan membantu usaha dilaksanakan NGO tempatan,” ujarnya.

Dalam perbahasan di Kamar Khas itu, Syed Ibrahim berkata, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar yang mewakili kerajaan menegaskan bahawa pendirian Malaysia konsisten mengenai isu Palestin.

Menurutnya, Kamaruddin turut mengiktiraf peranan NGO terbabit dan memaklumkan beberapa negara lain turut melakukan desakan berhubung rancangan Israel.

“Beliau menjelaskan banyak tindakan dilaksanakan kerajaan Malaysia antaranya mengeluarkan kenyataan, berbincang dengan Presiden Turki, membangkitkan perkara ini dalam sidang ASEAN ke-26 dan lain-lain.

“Beliau memberi respons terhadap cadangan yang telah kami bawakan bahawa akan ambil tindakan dan perhatian sewajarnya,” kata Syed Ibrahim.

Berhubung isu kedutaan Palestin di Amman, Jordan yang disuarakan Ahli Parlimen Sik (Pas), Ahmad Tarmizi Sulaiman, beliau berkata, ia masih dalam peringkat cadangan untuk dibawa ke pihak Jordan untuk mendapatkan kelulusan.