Tin biskut taktik baharu seludup dari Thailand

Hasan Basri (tiga,kanan) bersama Azhari (kiri) menunjukkan tin biskut yang digunakan penyeludup.
Hasan Basri (tiga,kanan) bersama Azhari (kiri) menunjukkan tin biskut yang digunakan penyeludup.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penggunaan tin biskut ialah taktik baharu penyeludup bagi mengelakkan kegiatan haram itu dikesan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor (Tumpat) hingga ke Rantau Panjang.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, taktik licik itu berjaya ditumpaskan oleh PGA Batalion 7 Kuantan dalam serbuan di pangkalan haram Madrasah ketika Op Benteng Coronavirus (Covid-19), hari ini.

Hasan Basri berkata, anggota PGA Batalion 7 Kuantan telah melakukan intipan pada jam 3.30 pagi di lokasi kejadian dan beberapa lelaki sedang memunggah tin biskut dari sebuah bot ke tebing sungai Golok di sebelah Malaysia.

"Menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki berkenaan bertindak melarikan diri ke Thailand.

"Pemeriksaan lanjut ke atas tin yang ditinggalkan mendapati terdapat 4,800 batang rokok putih dan keretek, dua kilogram daun ketum serta tiga liter air ketum," katanya pada Majlis Serah Tugas Op Benteng Coronavirus (Covid-19) antara PGA Batalion 7 Kuantan dengan Batalion 9 Kuala Terengganu di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintenden Azhari Nusi dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintenden Nor Azizan Yusof.

Dalam perkembangan lain, Hasan Basri berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan oleh PGA Batalion 7 apabila pasukan itu berjaya melakukan rampasan pelbagai barangan seludup lebih RM4.5 juta dalam tempoh sebulan Op Benteng Coronavirus (Covid-19).

"Kejayaan ini membuktikan komitmen PGA melaksanakan tanggungjawab mengawal sempadan negara dari sebarang ancaman termasuklah aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel Berkaitan: