Agong zahir sokongan langkah tegas kekang PATI

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan terhadap langkah tegas kerajaan dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan membanteras jenayah rentas sempadan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan semalam memaklumkan, Seri Paduka Baginda mengambil maklum berkenaan pelaksanaan operasi bersepadu Ops Benteng yang diterajui bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Operasi berkenaan bertujuan mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi PATI untuk mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang dikhuatiri dibawa warga asing yang masuk secara haram.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kerajaan terus memperhebat usaha tersebut dan tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap soal keselamatan rakyat dan negara kerana terdapat beberapa negara yang masih berisiko tinggi Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda bagaimanapun menzahirkan rasa kesal dengan kes-kes penangkapan beberapa anggota PDRM dan ATM yang disyaki terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI baru-baru ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan terhadap tindakan penangkapan tersebut bagi membanteras jenayah rentas sempadan negara kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur dalam perkara yang berkait dengan keselamatan rakyat dan negara,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: