Jamali Shadat kini uzur, kerap diamkan diri

Dr Baharudin (kiri) bertanya keadaan Jamali ketika mengunjungi kediaman pelawak veteran itu.
Dr Baharudin (kiri) bertanya keadaan Jamali ketika mengunjungi kediaman pelawak veteran itu.
A
A
A

KLANG - Pelawak veteran popular, Datuk Jamali Shadat, 78, kini uzur dan perlu bergantung kepada bantuan anak dan menantunya untuk menguruskan diri.

Anak keenam beliau, Fauzi, 48, berkata, bapanya banyak mendiamkan diri, murung dan kerap tidur selepas kematian ibunya, Allahyarham Lela Yacob pada Jun 2018.

Menurutnya, tahap kesihatan dan ingatan ayah yang menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis juga merosot sejak dua tahun lalu.

“Ayah uzur kerana faktor usia namun selera makannya masih okey. Dia biasanya murung kerana tak ada kawan nak bercakap tapi kadang-kadang ada bercakap dengan anak-anak saya.

“Ayah juga mula memakai lampin pakai buang bermula tahun ini. Biasanya saya dan isteri serta adik-beradik yang lain bantu untuk uruskan dirinya kerana kudratnya dah tak berapa kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika kunjungan mesra Pengasas Pertubuhan Kebajikan Etno-Sains Alam Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia, Datuk Seri Dr Baharudin Abu ke kediaman Jamali di Sungai Pinang, Pulau Indah, Klang hari ini.

Dr Baharudin (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Jamali.
Dr Baharudin (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Jamali.

Turut sama Timbalan Presidennya, Dr Zaharom Ridzwan.

Artikel Berkaitan:

Fauzi dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk artis dan pihak persatuan yang masih mengingati dan mengunjungi bapanya yang terkenal dengan kebolehan meniru suara kanak-kanak dan pelbagai dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas dijayakannya.

Sementara itu Dr Baharudin berkata, kunjungan mesra itu merupakan sebahagian aktiviti pihaknya dalam memberi sumbangan kepada warga emas sekali gus beliau menawarkan khidmat rawatan perubatan tradisional kepada Jamali secara percuma.

Sebagai salah seorang peminat Jamali, Dr Baharudin berharap pelawak yang berasal dari Bukit Kapar, Klang itu sentiasa sihat.

“Harap dengan rawatan diberikan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan beliau dari segi kesihatan,” katanya.