[VIDEO] 'Kena talkin terus dengan Ketua Polis Johor'

Paparan Facebook Polis Johor menarik perhatian umum.
Paparan Facebook Polis Johor menarik perhatian umum.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Video rakaman bacaan talkin oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang memberi peringatan tentang kematian kepada polis Johor semalam disifatkan luar biasa dan menginsafkan.

Rakaman video berdurasi satu minit itu dimuat naik di Facebook Polis Johor dengan kapsyen, 'Mutiara kata oleh Ketua Polis Johor, fikirkanlah dan ingatlah pesanan, jangan sesekali terlibat dalam aktiviti rasuah!'

Rakaman memberi peringatan kepada anggotanya supaya tidak terlibat dalam rasuah dan bersekongkol dengan pembelot itu juga tular dan mendapat perhatian netizen dan meraih lebih 2,900 tanda suka.

Kata beliau, "Bagi pegawai dan anggota polis Johor yang beragama Islam, saya ingin mengingatkan, mati adalah benar, soalan Munkar dan Nakir adalah benar, bangun daripada kubur dan dihidupkan semula adalah benar.

"Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira amalan kita adalah benar.

"Minum di kolam air Nabi Muhammad adalah benar. Syurga dan neraka adalah benar. Jadi berfikirlah dan ingat pesanan ini sekiranya tuan-tuan ingin mengambil rasuah atau bersekongkol dengan elemen-elemen pembelot."

Ucapan itu yang kemudian tular di laman sosial menarik perhatian netizen yang turut bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh Ketua Polis Johor itu.

"Terbaik Datuk, talkinkan terus pegawai yang tiada intergriti. Kami berbangga adanya ketua polis yang memahami ajaran agama Islam," tulis Ilham Narsman.

Sementara itu, Amirullah memberitahu, "Alhamdulillah, ini yang kita mahukan, kebenaran yang tiada tandingan. Bagus, teruskan perjuangan dalam memerangi rasuah dan jenayah".

Artikel Berkaitan:

Ujar Razali Ayub, "Aduh terkejut saya, kena talkin terus dengan Datuk KP, kalau tak insaf, tak tahu la nak cakap apa lagi".

Tambah Asyrik pula, "Terbaik Datuk...Tazkirah yang membimbing dan juga saling memperingatkan sesama umat. Syabas Datuk!".

Ayob Khan sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman sebelum memulakan tugas sebagai Ketua Polis Johor pada 24 Februari lalu.