Selangor bantah ECRL dibina guna jajaran asal

Selangor mencadangkan lokasi yang lebih strategik untuk jajaran projek ECRL.
Selangor mencadangkan lokasi yang lebih strategik untuk jajaran projek ECRL.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak bersetuju dengan cadangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibina berdasarkan jajaran asal yang melalui kawasan Gombak dan Serendah di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, ini kerana jajaran asal berkenaan melalui kawasan tadahan air di Selangor.

“Jajaran asal meliputi laluan berhampiran Permatang Kuarza (Gombak), Empangan Batu, Hutan Simpan dan Taman Rimba Templer, Kota Puteri atau Batu Arang. Jajaran itu melalui kawasan tadahan air.

“Selangor telah mencadangkan lokasi yang lebih strategik iaitu di Jenjarom (Kuala Langat) berhampiran kawasan Rimbayu atau Kampung Cheeding selain di Pelabuhan Barat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) di sini hari ini.

Sze Han menjawab pertanyaan Lau Weng San (PH-Banting) berhubung status terkini projek ECRL di Selangor.

Pada masa sama, Sze Han menyatakan sekiranya Kementerian Pengangkutan berhasrat meneruskan projek ECRL dengan pelan jajaran asal, impak ekonomi terhadap kawasan di laluan yang pernah dicadangkan sebelum ini harus diselesaikan menerusi solusi yang baik.

Sebelum ini, media melaporkan ada pihak mencadangkan agar laluan ECRL dikembalikan kepada jajaran asal yang diputuskan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, status terkini pewartaan hutan simpan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) masih dalam peringkat pencalonan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dokumen berkaitan pencalonan tapak FRIM itu telah dihantar kepada pihak UNESCO pada 31 Januari 2017.

“Dokumen ini merupakan senarai menunggu yang perlu dihantar kepada UNESCO sekurang-kurangnya setahun sebelum dihantar dosier pencalonan lengkap,” katanya bagi menjawab pertanyaan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) berhubung maklum balas terkini pewartaan FRIM sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Loy Sian berkata, gerak kerja bagi penyediaan dosier pencalonan serta dokumen berkaitan sedang giat dilaksanakan oleh pakar yang dilantik dan dijangka dihantar kepada UNESCO pada 2022. - Bernama