X

Kindly register in order to view this article
!

81 tapak sampah haram dikenal pasti di Melaka

Khairuladha Ab Mutalib
A
A

MELAKA - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengenal pasti sebanyak 81 kawasan hotspot tapak pelupusan sampah haram di sekitar negeri ini.

Pengarah SWCorp negeri, Khairuladha Ab Mutalib berkata, daripada jumlah itu sebanyak 41 lokasi disahkan sentiasa aktif berikutan kes berulang selain lokasi baharu.

Menurutnya, kebanyakan aktiviti itu tertumpu di kawasan perindustrian, tanah persendirian dan taman perumahan apabila bahan sisa industri mendominasi dan sering ditemui di kawasan tapak pelupusan sampah haram selain barangan binaan.

"Ada beberapa tempat yang kita telah tutup dan tidak aktif lagi memandangkan kita telah bersihkan dengan kerjasama SWM Environment Sdn Bhd.

"Bulan ini sahaja 12 lokasi pembuangan sampah haram di sekitar Krubong terutama kawasan perindustrian Krubong dan Taman Teknologi Cheng telah ditutup," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Khairuladha, tindakan penguatkuasaan larangan pembuangan sampah dibuat di bawah peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di bawah Seksyen 71(1) Akta 672 dan pihaknya juga sedang menyiapkan tujuh kertas siasatan untuk dibawa ke timbalan pendakwa raya (DPP) bagi pendakwaan di Mahkamah.

Menurutnya, pihaknya juga komited membuat pemeriksaan rumah ke rumah bagi memastikan mereka melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca seperti kertas, plastik dan lain-lain.

Katanya, pada tahun ini 22 notis pematuhan kesalahan telah dikeluarkan dan daripada jumlah berkenaan 14 premis didapati tidak mengikut peraturan pengasingan melibatkan kawasan Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah.

"Kita akan periksa sama ada penghuni melakukan pengasingan sisa yang boleh dikitar semula atau sebaliknya mengikut hari kutipan berjadual seminggu sekali, jika gagal berbuat demikian kita tidak teragak-agak untuk mengeluarkan notis," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!