Pelan Pemulihan Felda sedang giat dilaksanakan

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua strategi jangka pendek, sederhana dan panjang Pelan Pemulihan Felda seperti digariskan dalam Kertas Putih Felda telah dan sedang giat dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaksanaan tersebut disokong peruntukan kewangan termasuk pemberian jaminan kerajaan berjumlah RM6.23 bilion dalam tempoh empat tahun.

Menurutnya, peruntukan itu membabitkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) bagi mendapatkan hasil baharu berjumlah RM1 bilion, penyiapan projek terbengkalai Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) berjumlah RM250 juta dan penghapusan faedah hutang kebun peneroka (RM2 bilion).

Katanya, ini termasuk pemberian pinjaman sara hidup serta pendahuluan hasil kepada peneroka (RM480 juta) dan pemberian jaminan ke atas penstrukturan semula pinjaman Felda (RM2.5 bilion).

“Di bawah PPP, Felda telah melaksanakan projek rintis di Felda Bukit Rokan di atas tanah seluas 31.16 hektar yang akan diperluaskan ke Felda Bukit Aping Barat, Semenchu, Chuping, Kerteh 6, Keratong 7 dan Sahabat.

“Antara program yang akan dilaksanakan adalah ternakan lembu pedaging, tanaman herba, tanaman kacang chanis dan tanaman rozel,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Jalaluddin Alias (UMNO-Jelebu) yang meminta perkembangan pelaksanaan Kertas Putih Felda setakat suku kedua tahun ini.

Menurut Mustapa, bagi penyiapan projek terbengkalai PGBF, daripada 4,794 unit kediaman di 20 lokasi yang telah melepasi 70 peratus siap, sebanyak 2,058 unit kediaman di 10 lokasi siap dibina dengan mendapat Sijil Perakuan dan Siap Pematuhan (CCC).

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, baki 2,020 unit kediaman di enam lokasi dijadual siap menjelang penghujung tahun ini manakala 716 unit kediaman di empat lokasi dijadual siap pada 2021.

“Bagi penghapusan faedah hutang kebun peneroka, Felda telah memuktamadkan lebih daripada 20,088 daripada 77,974 penyata hutang peneroka yang terlibat dengan program tanam semula.

“Proses memuktamadkan penyata hutang peneroka ini dijangka diselesaikan pada September 2020.

“Bagi pemberian pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka, kerajaan telah menyalurkan peruntukan melalui pinjaman sebanyak RM480 juta kepada Felda dengan kadar pinjaman dua peratus,” ujarnya.

Mustapa berkata, Felda juga sedang berunding dengan Kementerian Kewangan bagi penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bagi melaksanakan penstrukturan semula pinjaman Felda.

Menurutnya, kerajaan menubuhkan pasukan khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar bagi mencari kaedah terbaik memastikan kemandirian dan kemampanan kewangan Felda.