X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pegawai imigresen antara lima didakwa seludup PATI

Lima individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).
A
A

JOHOR BAHRU - Lima individu termasuk seorang penolong pengarah dan pegawai kanan imigresen di Pasir Gudang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas tuduhan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

Penolong pengarah dan pegawai kanan imigresen tersebut ialah Noryati Abu Bakar, 50, dan Haris Fadzilah Abu Bakar, 48.

Tiga lagi tertuduh ialah Tengku Jajang Sagita, 54, merupakan ejen tiket feri di Pelabuhan Pasir Gudang; Razali Mohamad, 55, berkerja sebagai pengawal keselamatan di pelabuhan sama dan buruh binaan, M Amir Nasir, 61.

Norhayati, Haris Fadzilah dan M Amir, masing-masing menghadapi lapan pertuduhan manakala Tengku Jajang dan Razali, masing-masing menghadapi dua dan satu pertuduhan.

Kesemua mereka didakwa secara bersama-sama menyeludup lapan imigran dari Indonesia di Jalan Feri, Pelabuhan Pasir Gudang pada jam 12 tengah hari, 15 Jun lalu.

Bagi pertuduhan itu, kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, yang boleh dihukum di bawah akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Anggota polis mengiringi tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Anggota polis mengiringi tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh mengangguk faham atas kesemua pertuduhan yang dibaca di lima kamar perbicaraan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun; Faiz Dziyauddin, V Mabel Sheela, Wan Norisham Wan Yaacob dan Aizatul Akma Maharani. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim, Nor Azizah Mohamad dan Nur Baiduri Mustakim.

Noryati diwakili peguam Zaid Malek; Haris Fadzilah oleh peguam Khairul Nadiah Hasni dan M Amir diwakili peguam Izzat Muhtar.

Tengku Jajang diwakili peguam Muhamad Isa Mohamad Basir manakala Razali diwakili peguam Munirah Najihah Shaari.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan kepada semua tertuduh.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus