Peruntukan lebih RM1 bilion naik taraf bangunan sekolah daif di Sabah

Radzi - Foto fail
Radzi - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM1.252 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) bagi menaik taraf dan membangunkan semula bangunan sekolah yang daif di seluruh Sabah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin berkata, peruntukan dalam RMK11 itu adalah untuk membiayai kerja-kerja naik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di 237 sekolah di Sabah manakala baki bangunan daif lain akan dinaik taraf di bawah RMK12 tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan.

“Kementerian juga menggunakan peruntukan daripada Program Khusus Penyelenggaraan Institusi Pendidikan untuk tujuan penyelenggaraan berdasarkan keutamaan mengikut skala impak. Bagi tahun 2020, peruntukan penyelenggaraan bagi negeri Sabah adalah sebanyak RM39.5 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang bertanyakan sama ada kerajaan sedar mengenai kewujudan bangunan sekolah di Sabah yang telah diisytiharkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai tidak selamat untuk digunakan seperti bangunan asrama dan flat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu dan langkah yang telah, sedang dan akan diambil untuk menanganinya.

Radzi berkata, sehingga 31 Mei lepas, terdapat 414 sekolah di Sabah yang mempunyai bangunan pada tahap skala impak enam iaitu bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah serta 52 sekolah yang mempunyai bangunan pada tahap skala impak tujuh iaitu bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada JKR.

Katanya, mengikut perancangan, kerja-kerja membaik pulih asrama dan kemudahan lain di sekolah berkenaan akan dapat diselesaikan dalam tempoh lapan bulan selepas proses perolehan dibuat.

”Pada peringkat awal, pihak JKR bercadang untuk membuat pelawaan tender pada bulan Mac 2020. Bagaimanapun, pelawaan tender ini ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terkini, pihak JKR Malaysia telah membuka iklan tender pada 30 Jun dan akan ditutup pada 3 Ogos 2020,” katanya.

Radzi berkata, memandangkan asrama tidak selamat digunakan, pihak sekolah telah mengubah suai dewan makan, rumah guru dan bilik darjah untuk dijadikan asrama sementara bagi 114 pelajar, selain kerjasama dengan badan bukan kerajaan untuk menyediakan penginapan bagi 58 murid di bangunan berdekatan dengan sekolah yang telah diubah suai menjadi asrama.

Artikel Berkaitan:

“Baki 143 murid lagi pula berulang-alik dari rumah ke sekolah. Pihak sekolah sedang mengubah suai beberapa kemudahan sekolah dan mengenal pasti premis berhampiran sekolah yang bersesuaian untuk disewa sebagai tempat tinggal sementara bagi menampung baki murid ini,” katanya.

Beliau berkata, sementara menunggu kemudahan sementara itu siap, kementerian akan menampung tambang pengangkutan bagi murid yang berulang-alik dari rumah ke sekolah. - Bernama