X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan gagal lucut hak wang, barangan Mohd Arif

Mohd Arif (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal dalam permohonan untuk melucut hak wang tunai berjumlah lebih RM500,000 dan pelbagai barangan milik bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman yang disita pada 2017.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan rayuan Mohd Arif terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak wang dan barangan tersebut di bawah Seksyen 41 (1) Akta SPRM 2009.

Barangan yang disita SPRM merangkumi wang tunai berjumlah RM544,627; wang tunai dalam mata wang asing, lapan keping emas dengan berat keseluruhan 8,000 gram; 11 utas jam tangan berjenama, seutas rantai leher dan gelang tangan mutiara, seunit telefon bimbit serta sebuah beg tangan berjenama.

Hakim Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata, SPRM selaku responden gagal membuktikan harta-harta yang disita itu telah digunakan dalam melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM.

“Perayu (Mohd Arif) telah memberi penjelasan dalam afidavit jawapan berkenaan harta yang disita itu. Responden tidak memfailkan sebarang afidavit balasan untuk mencabar atau menyangkal penjelasan perayu, oleh itu penjelasan perayu disifatkan sebagai diterima responden.

"Persoalan fakta, hakim bicara (Mahkamah Sesyen) tidak memberi pertimbangan wajar kepada penjelasan perayu yang mana ia langsung tidak disangkal responden. Dalam keadaan sedemikian hakim bicara seharusnya menerima penjelasan perayu dalam apa jua keadaan," katanya.

Sehubungan itu katanya, mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan responden dalam notis permohonan bertarikh 30 Jun 2018.

Selepas hakim membaca keputusan, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Abdul Rashid Sulaiman berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan itu dan peguam Guek Ngek Seong yang mewakili perayu tidak membantah.

Hakim Muhammad Jamil memerintahkan pendakwaan memfailkan permohonan itu secara rasmi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!