X

Kindly register in order to view this article
!

Kaedah e-undi masih dalam kajian

Takiyuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem pengundian secara dalam talian (e-undi) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) berkemungkinan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum berpuas hati dengan isu kerahsiaan dan keselamatan dalam kaedah pengundian elektronik itu.

Walau bagaimanapun menurutnya, SPR akan terus mengadakan libat urus dengan pihak dalam dan luar negara yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dikemukakan kepada kerajaan.

“Banyak negara yang melaksanakan undian secara dalam talian antaranya seperti Estonia, Brazil, India Switzealand dan United Stated.

“Namun laporan juga menunjukkan bahawa sistem e-voting yang dilaksanakan di negara tersebut terpaksa dikaji semula dan dibuat beberapa penambahbaikan. Akhirnya ada negara yang kembali kepada sistem manual.

“Ini adalah kerana terdapat banyak perkara yang menyebabkan keputusan pilihan raya itu dipersoalkan dan juga ia terbukti satu sistem tidak begitu efektif.

“Oleh sebab itu di negara ini, kaedah pilihan raya sedia ada diteruskan dan akan cuba ditambah baik dari masa ke masa,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap-UMNO) mengenai tahap kesiapsiagaan SPR bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU bagi menghadapi kemungkinan berlakunya pilihan raya dan penggunaan e-undi.

Menurut Takiyuddin, SPR sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.

Tambahnya, persediaan itu merangkumi perancangan yang menyeluruh meliputi aspek seperti belanjawan pilihan raya, peralatan dan logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.

"Sebagai persiapan menghadapi PRU15, SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan di daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi.

“SPR juga akan menjalankan urusan mengemaskini daftar pemilih dari masa ke masa,” katanya.

Katanya, jika PRU dijalankan dalam tempoh terdekat proses perjalanan pilihan raya akan disesuaikan mengikut garis panduan pencegahan koronavirus (Covid-19) yang diselaraskan mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!