X

Kindly register in order to view this article
!

MTUC gesa JTK buat pemeriksaan mengejut majikan terima bantuan Perkeso

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap mana-mana premis majikan yang tersenarai menerima bantuan Program Subsidi Upah (PSU) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Setiausaha Agungnya, A Balasubramaniam berkata, gesaan itu dikemukakan susulan MTUC menyambut baik kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang memberi jaminan bahawa kerajaan akan mendenda majikan yang tidak membayar gaji pekerja daripada skim bantuan subsidi diterima daripada Perkeso.

Menurutnya, JTK di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia, mempunyai kuasa di bawah Seksyen 65 Akta Pekerjaan untuk memasuki mana-mana premis pekerja bagi menjalankan pemeriksaan di seluruh negara.

"Memandangkan terdapat 72 pejabat JTK di seluruh negara, operasi ini sepatutnya dapat dilakukan dengan mudah oleh JTK dengan merujuk kepada senarai nama-nama syarikat yang menerima bantuan subsidi ini.

"MTUC merasakan bahawa ini adalah satu peluang dan masa yang amat baik bagi JTK dan Perkeso bekerjasama dan berganding bahu bagi menangani penipuan dan penindasan terhadap pekerja-pekerja yang malang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Subramaniam berkata, MTUC juga sedia maklum terdapat beberapa syarikat tidak membayar pekerja mereka atau membayar setengah daripada apa yang sepatutnya dibayar daripada bantuan subsidi yang disalurkan Perkeso.

Menurutnya, walaupun pekerja mengetahui perkara itu, mereka tidak berani untuk tampil ke hadapan untuk membuat laporan kerana bimbang majikan mereka akan memecat atau menindas mereka.

"Majikan yang menipu pekerja harus dikenakan tindakan supaya mereka mematuhi undang-undang dan menghormati hak pekerja," katanya.

Pada sidang Parlimen 14 Julai lalu, Saravanan memaklumkan Dewan Rakyat bahawa PSU bernilai RM5.2 bilion sudah diagihkan Perkeso sehingga 30 Jun lalu.

Menurutnya, pengagihan sudah dibuat kepada 319,000 majikan dengan membabitkan 2.6 juta pekerja yang terjejas teruk akibat penularan pandemik koronavirus Covid-19.

Saravanan turut menegaskan peruntukan itu berjaya menghalang lebih ramai rakyat kehilangan kerja ekoran wabak itu.

Dalam isu lain, Saravanan berkata, laman web Perkeso akan memaparkan senarai nama majikan yang menerima PSU bagi memudahkan pekerja membuat semakan selain melancarkan urusan membuat aduan sekiranya suatu masalah timbul.

Terdahulu, Saravanan dalam satu kenyataan memberi jaminan bahawa kerajaan akan mendenda mana-mana majikan yang didapati culas membayar gaji pekerja meskipun menerima bantuan PSU daripada Perkeso.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus