Tarikh baharu bicara kes rogol Paul Yong 19 Oktober depan

Paul Yong bersama Peguam Datuk Rajpal Singh ketika ditemui di luar mahkamah.
Paul Yong bersama Peguam Datuk Rajpal Singh ketika ditemui di luar mahkamah.
A
A
A

IPOH - Tarikh baharu perbicaraan kes bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong yang dituduh merogol pembantu rumahnya warga Indonesia ditetapkan selama tiga hari bermula 19 Oktober depan.

Hakim Azman Abu Hassan membuat keputusan itu selepas tarikh berkenaan dipersetujui kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan pada sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Paul Yong, 50, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh hadir dengan memakai kemeja putih diwakili Peguam Datuk Rajpal Singh dan Farhan Sapian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes rogol Paul Yong ditangguh lagi

Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan baharu, mengambil kira tempoh kes yang sudah tertangguh selama hampir setahun selain kes terbabit mendapat perhatian kedua-dua negara, Indonesia dan kerajaan Malaysia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19, 20 dan 21 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan kes terbabit.

Sementara itu, Rajpal Singh yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, kes berkenaan telah tertangguh beberapa kali kerana masih menunggu keputusan penuh rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan bagi memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak pembelaan masih belum memperoleh keputusan majoriti panel hakim bagi permohonan rayuan berkenaan.

"Rekod rayuan telah disiapkan dan sekiranya rayuan diterima, maka kes ini akan berpindah ke Mahkamah Tinggi, sekiranya ditolak perbicaraan masih boleh dibuat di Mahkamah Sesyen.

"Kita harap proses rayuan itu dapat diselesaikan sebelum tarikh perbicaraan bermula pada tarikh yang ditetapkan Oktober depan," katanya.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan dibuat Paul Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim dengan Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Seri Kamaludin Md Said memutuskan untuk menolak permohonan itu manakala Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menentang keputusan berkenaan.

Paul Yong kemudiannya memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong yang ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di kediamannya di Meru Desa Park antara jam 8.15 malam dan jam 9.15 malam pada 7 Julai tahun lalu.