Indonesia batal pembebasan awal Abu Bakar Bashir

Abu Bakar (tengah) dijatuhi hukuman penjara 15 tahun pada 2011.
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Kerajaan Indonesia telah membatalkan pembebasan awal ulama radikal, Abu Bakar Bashir yang dikaitkan dengan insiden pengeboman Bali selepas mendapati dia tidak memenuhi syarat tertentu untuk parol, menurut Istana Negara, semalam.

Antara syarat untuk pembebasan awal seperti dinyatakan Ketua Turus Presiden, Moeldoko adalah bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang dalam siasatan berkaitan jenayah dilakukannya, menunjukkan penyesalan atas jenayah dilakukan dan menyatakan kesetiaan secara bertulis terhadap negara.

"Pembatalan itu adalah kerana syarat tersebut tidak boleh dirunding," jelasnya.

Sebelum ini, Presiden Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan pembebasan pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah itu dibuat atas dasar kemanusiaan berdasarkan faktor usia dan keadaan kesihatan yang semakin merosot.

Tetapi, Abu Bakar menekankan kepentingan untuk mematuhi undang-undang.

"Terdapat sistem dan mekanisme pengawalseliaan yang perlu kita ikut. Saya tidak boleh melanggar sistem itu terutamanya jika ia melibatkan syarat asas seperti menyatakan kesetiaan terhadap Republik Indonesia dan Pancasila," katanya.

Abu Bakar dijatuhi hukuman penjara 15 tahun pada 2011 selepas didapati bersalah membiayai kem latihan pengganas di Aceh.

Dia menjalani hukuman tersebut di penjara Gunung Sindur di Bogor, Jawa Barat.

Ulama radikal itu pernah mendapatkan rawatan untuk masalah kekurangan vena yang kronik, pembekuan darah dan urat varikos pada kakinya sejak 2017. - CNA