Covid-19: Negeri Sembilan kini zon hijau

Hanya Mukim Setul sahaja masih mempunyai satu kes aktif Covid-19.
Hanya Mukim Setul sahaja masih mempunyai satu kes aktif Covid-19.
A
A
A

SEREMBAN - Lapan daerah di negeri ini ditakrifkan sebagai zon hijau kecuali Mukim Setul yang masih zon kuning dengan mencatatkan satu kes koronavirus (Covid-19) yang masih aktif setakat laporan yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Covid-19 Negeri Sembilan (STFC) semalam.

Satu kes masih aktif itu adalah mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir), dicatatkan di mukim Setul dalam daerah Seremban.

Sehingga semalam, Negeri Sembilan merekodkan seminggu tiada kes baharu yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kekal sebanyak 1,027 kes.

"Daripada jumlah itu, 1,017 kes telah sembuh, dua kes masih menerima rawatan di wad dan kekal dengan lapan kes kematian.

"Sebanyak 325 kes positif Covid-19 adalah merupakan dari Kluster Pedas, 144 kes dari Kluster Ijtimak Tabligh di Seri Petaling dan 112 kes dari Kluster Sendayan dengan menyebabkan satu kematian," katanya menerusi kenyataan di laman sosial rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan kepada semua masyarakat di negeri ini agar terus mengamalkan cara hidup normal baharu dan sentiasa berwaspada semasa berada di luar.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dan berkorban dalam menghadapi pandemik Covid-19.

"Syukur Alhamdulillah, semua pusat kuarantin (QS) di Negeri Sembilan secara rasminya tamat operasi pada 10 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Negeri Sembilan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) serta semua jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menangani pandemik Covid-19 ini.

"Saya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua individu serta organisasi yang terlibat dalam usaha menangani wabak ini," katanya dalam kenyataan di laman sosial.