Tahap kesiapsiagaan SPR hadapi PRU dibangkit hari ini

Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap kesiapsiagaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) menjadi antara perkara yang bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) dijadual mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai isu tersebut dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang kebiasaannya bermula tepat jam 10 pagi.

Beliau juga dijadual bertanyakan mengenai perkembangan cadangan untuk mengaplikasi kaedah pengundian secara elektronik (e-undi) sebagai alternatif kepada kaedah konvensional dalam tempoh pasca koronavirus (Covid-19).

Pandemik Covid-19 terus mendapat perhatian dengan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (Bebas-Jerlun) dijangka bertanyakan mengenai inisiatif serta strategi memulihkan aktiviti perdagangan dan ekonomi yang terjejas teruk akibat wabak itu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) pula, dijangka bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai komitmen kerajaan dalam menangani isu integriti dan rasuah yang kini dilihat lebih tertumpu kepada ekonomi serta kesihatan akibat Covid-19.

Sidang dewan yang memasuki hari keempat hari ini juga bakal menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: