X

Kindly register in order to view this article
!

Olimpik Tokyo: Misi 'hidup atau mati' Sharmendran

Sharmendran
A
A

MEMANDANGKAN sukan karate akan dipertandingkan buat pertama kali di Sukan Olimpik tahun depan ia akan menjadi edisi yang julung kali mempertandingkan sukan tempur itu dalam sejarah temasya berkenaan selepas tuan rumah edisi 2024, Paris tidak menyenaraikannya dalam acara sukan yang akan dipertandingkan.

Mengambil kira perkara itu, atlet karate negara, R Sharmendran akan berusaha keras meraih tempat untuk beraksi dalam temasya sukan terbesar di dunia dan seterusnya berjuang untuk memenangi pingat di podium berprestij itu.

Ini termasuk mengambil risiko menangguhkan pembedahan kecederaan lutut kanannya yang telah dihadapi atlet acara kumite berusia 28 tahun itu sejak Disember 2018, walaupun perlu menanggung kesakitan.

"Selepas ini mungkin tidak ada lagi acara karate di Olimpik atau itu (Olimpik Tokyo) boleh menjadi pertandingan terakhir saya, kita tidak tahu. Jadi buat masa ini, kita hanya perlu mempersiapkan yang terbaik untuk menghadapi kejohanan kelayakan.

"Mengenai kecederaan ini, saya tidak mahu menjalani pembedahan sekarang walaupun ia menyakitkan...Ini adalah peluang terakhir, saya boleh melakukannya selepas Olimpik. Malahan sebelum Sukan SEA Filipina 2019, saya memerlukan masa lapan bulan untuk pulih tetapi saya berjaya kembali dalam masa empat bulan.

"Ketika itu saya mengambil beberapa suntikan PRP (Platelet-rich Plasma) dan ubat-ubatan untuk terus bersaing walaupun dalam kesakitan. Karate adalah sukan tempur, jadi saya perlu melawan rasa sakit itu," kata pemenang pingat emas kategori bawah 75 kg lelaki Sukan SEA 2017 dan 2019 ketika ditemui semasa sesi latihan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Buat masa ini, juara Piala Dunia Karate 1 2014 itu kembali mencapai tahap kecergasan apabila menyertai kem latihan program Road to Tokyo (RTT) bersama-sama seorang lagi atlet sandaran Olimpik, S Prem Kumar sejak awal Jun lepas, selepas berehat selama tiga bulan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lebih kurang setahun sebelum temasya Sukan Olimpik Tokyo, yang dijadualkan semula pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, Sharmendran akan menggunakan tempoh enam bulan pertama untuk tujuan 'conditioning' serta persiapan mental dan fizikal dan enam bulan berikutnya akan lebih padat dengan prapertandingan, kem latihan dan kelayakan Olimpik.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, S Mahendran berkata, walaupun kerajaan membenarkan latihan secara bersentuhan (kontak) bermula hari ini dan diikuti dengan pertandingan domestik bermula dari 15 Ogos, beliau hanya akan memberi tumpuan kepada persiapan fizikal secara asas untuk meningkatkan kekuatan fizikal dan otot atlet bimbingannya.

"Selepas itu, kami akan memulakan latihan kontak seperti biasa dengan memberi penekanan kepada kecergasan, kemahiran, serangan, pertahanan dan pertarungan. Kami akan menggunakan atlet skuad remaja sebagai rakan sepelatih memandangkan tidak dapat berlatih di luar negara atau menjemput atlet dari negara lain buat masa ini. Kami telah mengenal pasti beberapa atlet remaja yang sesuai.

"Mungkin kita akan mengadakan kejohanan kebangsaan pada bulan Oktober yang akan menjadi kejohanan domestik yang baik untuk atlet kita. Kami berharap pandemik Covid-19 ini akan segera berakhir, barulah dapat pergi berlatih di luar negara atau menjemput atlet dari negara lain," katanya.

Bekas atlet kebangsaan itu berkata penangguhan Sukan Olimpik Tokyo selama setahun itu dilihat sebagai suatu rahmat kepadanya, kerana beliau dapat mempersiapkan atlet di bawah bimbingannya dengan lebih baik untuk menghadapi kejohanan kelayakan Olimpik yang mencabar. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus