Allahyarham berkebolehan menulis dan berpidato

Mohd Khusairi Abdul Talib
Mohd Khusairi Abdul Talib
A
A
A

IPOH - Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib semalam amat mengejutkan rakan-rakan wakil rakyat yang lain.

ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, beberapa hari lalu beliau ada berbual dengan Allahyarham menerusi telefon dan pada bulan Jun lalu beliau ada bertemu dan berbual dengan arwah di kediaman Menteri Besar Perak di sini.

Menurutnya, Mohd Khusairi merupakan sahabat ketika zaman Pemuda UMNO malah merupakan Ketua Pemuda UMNO yang berjaya menjadi Ketua UMNO Bahagian selepas tamat usia pemuda.

“Cukup banyak juga pengalaman bersama arwah. Kami pernah berada di dalam satu rombongan umrah bersama. Saya juga kagum dengan kebolehan beliau menulis dan berpidato.

“Jika di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau antara ADUN yang cukup lantang bersuara. Semoga keluarga reda dan tabah dengan pemergian arwah,” katanya yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang berkata, Allahyarham merupakan rakan sejawatan dalam DUN Perak selama dua penggal ketika menjadi ADUN Teja bermula pada tahun 2008.

Beliau turut sedih dengan berita pemergian Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu kerana diketahui dalam keadaan mengejut.

Artikel Berkaitan: