NUTP tidak terima aduan guru terpaksa beli pelitup muka

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Teruntum Muhammad Hadeeb Fareesh Amran,12, memakai pelitup muka ketika menunggu giliran untuk menggunakan tandas. -Foto Bernama
Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Teruntum Muhammad Hadeeb Fareesh Amran,12, memakai pelitup muka ketika menunggu giliran untuk menggunakan tandas. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak menerima sebarang aduan tentang guru terpaksa membeli kelengkapan perlindungan diri seperti pelitup muka dan pensanitasi tangan untuk kegunaan pelajar di sekolah.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, malahan tiada arahan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk guru-guru berbuat demikian.

“Prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang dikeluarkan KPM juga menetapkan hanya mereka yang bergejala perlu memakai pelitup muka.

“Jadi tidak ada keperluan untuk menyediakan pelitup muka kepada semua pelajar cuma pelajar digalakkan memakainya sebagai pelindungan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, sekiranya ada guru yang secara sukarela menyediakan kelengkapan perlindungan diri itu, ia memperlihatkan guru sanggup berkorban termasuk ada yang sanggup mengambil risiko melakukan perkara yang membahayakan diri sendiri demi mendidik pelajar.

“Perkara itu sebelum ini mungkin tidak didedahkan kepada umum tapi itulah hakikatnya seorang cikgu yang sanggup berhabis duit poket sendiri untuk buat kerja berkaitan bidang tugas mereka.

Aminuddin Awang
Aminuddin Awang

“Mereka nak buat apa-apa akan guna duit mereka sendiri dan bila berlaku begini, ia buka mata masyarakat kerana mungkin gambaran mereka terhadap kerja guru hanya sebagai pendidik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin berkata, sempena pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat itu, Kementerian Pendidikan menyalurkan bantuan untuk pembelian alat pengimbas suhu badan digital kepada semua sekolah berdasarkan nisbah satu alat itu untuk 50 pelajar (1:50).

Bagaimanapun, katanya, untuk pembelian kelengkapan lain seperti pensanitasi tangan ia adalah daripada peruntukan setiap sekolah sendiri dan terpulang kepada pentadbir untuk mencari dana tersebut.

Sehubungan itu, beliau juga menyokong saranan Cuepacs agar pihak luar tampil membantu sekolah dalam pembelian kelengkapan perlindungan diri pelajar itu.