Disamun, dibelasah dalam lif

Seorang jurujual cedera akibat dibelasah dan disamun tiga lelaki di dalam sebuah lif pangsapuri di Bandar Perai Jaya di sini tengah malam semalam. Gambar hiasan. Foto: 123rf
Seorang jurujual cedera akibat dibelasah dan disamun tiga lelaki di dalam sebuah lif pangsapuri di Bandar Perai Jaya di sini tengah malam semalam. Gambar hiasan. Foto: 123rf
A
A
A

PERAI - Seorang jurujual cedera akibat dibelasah dan disamun tiga lelaki di dalam sebuah lif pangsapuri di Bandar Perai Jaya di sini tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah malam itu, mangsa berusia 27 tahun dari Sungai Petani dikatakan mahu ke rumah rakannya di pangsapuri terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, semasa menaiki lif berkenaan, terdapat tiga lelaki bersamanya.

Menurutnya, salah seorang daripada lelaki itu bertanya ke mana mangsa mahu pergi.

Katanya, sebaik mangsa memberitahu mahu ke tingkat 16, secara lelaki itu mencekik lehernya menyebabkan berlaku pergelutan antara mangsa dan ketiga-tiga lelaki itu.

"Mangsa telah ditumbuk beberapa kali pada pipi kiri dan kanan serta mulut. Suspek kemudian mengambil beg mangsa yang mengandungi dompet, telefon bimbit dan kunci kereta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Shafee berkata, ketika lif berkenaan tiba di tingkat 21, mangsa terus keluar dan melarikan diri ke rumah rakannya.

Akibat kejadian itu, katanya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas dompet dan barangan peribadinya dilarikan.

Artikel Berkaitan:

"Kereta mangsa yang diletakkan berhampiran sebuah sekolah di flat berkenaan juga hilang," katanya.

Beliau berkata, walaupun di luar lif berkenaan terdapat kamera litar tertutup (CCTV), namun menurut penduduk kamera berkenaan sudah tidak berfungsi.

"Tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan, bagaimanapun siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengenal pasti tiga suspek yang terlibat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan dan curi kenderaan," katanya.