MFL kena kaji dulu impak

Zolkples Embong
Zolkples Embong
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) diharap dapat mengkaji dengan teliti impak yang bakal dihadapi kepada semua pihak terutama pasukan sebelum menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, kebanyakan pasukan berkemungkinan menghadapi masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19 sekali gus memberikan kesukaran mencari dana untuk melakukan persediaan dalam mengharungi baki saingan liga.

“Sekarang ini kalau kita tengok banyak pasukan tidak kira kelab atau pasukan negeri yang menghadapi masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai. Jadi jika sambung liga, ia akan memberikan masalah kepada pasukan untuk mencari dana dan penaja untuk menaja mereka dalam baki saingan liga itu.

“Jika mereka tidak dapat dana atau penaja, apa akan jadi? Adakah mereka akan tarik diri? Jika itu berlaku, ia akan memberikan imej negatif kepada liga kita. Kalau buat (sambung liga) pun, setakat nak lengkap kan jadual tiada maknanya. Kita tidak akan dapat saingan liga yang berkualiti.

“Sebab itu, MFL kena buat kajian keberkesanan terlebih dahulu untuk menilai sama ada sambung liga ini akan memberikan manfaat atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kebenaran untuk saingan Liga-M bersambung semula 15 Ogos ini, bagaimanapun MFL masih belum memutuskan tarikh sebenar liga dan berkemungkinan meneruskan perancangan asal menyambung saingan pada 1 atau 2 September depan.

Kebenaran untuk menyambung semula saingan liga itu juga menjadi berita gembira untuk komuniti bola sepak negara, namun ada sisi negatif yang perlu dihadapi sesetengah pasukan terutama membabitkan masalah kewangan apabila ada penaja menarik diri daripada menaja pasukan ketika tempoh PKP lalu.

Malah, pasukan juga mungkin perlu berdepan peningkatan perbelanjaan kerana perlu mengikuti SOP yang telah ditetapkan pada waktu perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Zolkples melihat langkah terbaik yang perlu dilakukan adalah membatalkan saingan liga dan memulakan semula Liga-M tahun depan.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku nanti dengan Covid-19 ini pun belum berakhir. Jadi, batal dan mulakan semula saingan liga tahun depan.

“Dalam masa sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh tumpukan kepada latihan pusat skuad negara dan skuad Bawah 19 tahun (B-19) menghadapi kejohanan yang lebih besar,” katanya.