DAP, Amanah nafi tandatangan SD pilih Mohd Shafie sebagai PM

Gambar yang menunjukkan Mohd Shafie berucap pada majlis makan malam solidariti bersama dengan Ahli-Ahli Parlimen DAP di Sabah House.
Gambar yang menunjukkan Mohd Shafie berucap pada majlis makan malam solidariti bersama dengan Ahli-Ahli Parlimen DAP di Sabah House.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa ahli Parlimen DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menafikan telah menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH).

Desas-desus itu timbul apabila ada pihak mengatakan Mohd Shafie mengadakan satu pertemuan dan mesyuarat khas dengan beberapa ahli Parlimen di Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang perjumpaan bagi menandatangani SD menyokong Mohd Shafie, namun tidak menolak sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Saya belum dengar, mungkin ada tapi saya tidak tahu dan setakat ini masih belum dapat berita mengenai perkara itu lagi,” katanya kepada Sinar Harian di Bangunan Parlimen semalam.

Lip Eng
Lip Eng

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, tiada sebarang mesyuarat khas yang diadakan untuk menandatangani SD dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu.

“Saya rasa SD tak, tiada (setakat ini),” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Hassanuddin Mohd Yunus menyifatkan sebarang keputusan penting dalam gabungan parti berkenaan mesti dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH.

Artikel Berkaitan:

“Menjadi hak setiap parti komponen dalam PH untuk menambah bilangan ahli Parlimen bagi berganding dengan PH untuk mengambil alih semula mandat diberikan oleh rakyat sebelum ini," katanya.

Hassanuddin
Hassanuddin

Bagaimanapun, satu ciapan di Twitter mendedahkan Mohd Shafie telah mengadakan satu majlis makan malam solidariti bersama ahli-ahli Parlimen DAP di Rumah Sabah.

Ciapan yang dibuat Senator Dewan Negara yang merupakan Pengarah Pendidikan DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang mengatakan DAP akan terus mengukuhkan hubungan kerja dengan Warisan di Sabah.

“Blok Sabah Sarawak Borneo akan memainkan peranan penting untuk memandu politik Malaysia,” katanya dalam hantaran tersebut.